Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bapa: Anak saya masih hidup, mayat siapa pula di rumah?
Diterbitkan:  Mar 6, 2023 9:01 AM
Dikemaskini: 1:01 AM

Selama beberapa hari seorang bapa di Negeri Sembilan meratapi pemergian anak lelakinya, yang menurut pihak berkuasa meninggal dunia ketika ditahan di Penjara Sungai Buloh Selasa lalu (2 Mac).

Dia kemudian menuntut mayat di Hospital Sungai Buloh, membuat persediaan untuk acara pengebumian di rumah keluarga di Tampin dan merancang untuk menanam jenazah anaknya semalam.

Namun, beberapa jam sebelum acara pengebumian, pihak keluarga terkejut apabila dimaklumkan lelaki berusia 19 tahun itu masih hidup.

"Bagaimanapun sekitar tiga ke empat jam sebelum proses pengebumian dilaksanakan, pihak penjara menghubungi kami bahawa anak kami masih hidup dengan membuat panggilan video.

"Tidak tahu macam mana hendak saya gambarkan, anak kami masih hidup dan mayat siapa pula di rumah ini?" kata bapa yang hanya ingin dikenali sebagai Chantren, seperti dipetik Sinar Harian semalam.

Menurut Chantren, 45, segalanya bermula apabila dia menerima panggilan daripada penjara Rabu lalu, memaklumkan anak lelakinya telah meninggal dunia.

Dia tidak tahu sebab anaknya ditahan.

Katanya, dia kemudian diminta untuk menuntut mayat anaknya di Hospital Sungai Buloh dan dia pergi ke situ bersama ahli keluarga yang lain.

"Sebaik melihatnya, kami mendapati keadaan wajahnya setelah bedah siasat berbeza kerana ada kesan jahitan selain rambutnya telah dibotakkan," katanya.

Katanya lagi, pihak penjara telah ke rumahnya untuk mengambil semula mayat tersebut dan dia juga telah memohon untuk melawat anaknya di penjara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS