Paling Popular
Terkini

Menjadi satu kerugian kepada kerajaan negeri Melaka sekiranya projek Terminal Kapal Persiaran Antarabangsa Melaka (MICT) tidak diteruskan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Loke berkata terminal itu, yang merupakan sebahagian projek Melaka Gateway, melibatkan kerja-kerja penambakan yang telah separuh siap dan jika terbengkalai, akan merugikan ekonomi negeri selain menyakitkan pemandangan.

Justeru Loke berkata, dia akan mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali dan kepimpinan kerajaan negeri bagi membincangkan lebih lanjut perkara itu dan mencari cara untuk memulihkan projek terminal kapal persiaran itu.

“Kementerian telah menerima permohonan daripada pemaju Melaka Gateway untuk menghidupkan semula projek terminal persiaran itu dan sedang dalam proses mendapatkan kelulusan lesen bagi meneruskan projek itu daripada kementerian khususnya Lembaga Pelabuhan Melaka.

“Pada hemat saya, tak ada masalah sokong untuk projek cruise itu dihidupkan semula. Saya ambil pendekatan yang pragmatik kerana projek itu sudah separuh dilaksanakan.

“Saya dah arahkan pegawai MOT daripada Lembaga Pelabuhan Klang untuk hubungi kerajaan Melaka bagaimana nak hidupkan semula projek ini, khususnya untuk cruise terminal," katanya kepada pemberita pada konvensyen DAP Melaka.

Setiausaha Agung DAP itu menekankan kepentingan MICT yang memainkan peranan penting dalam projek Melaka Gateway bernilai berbilion ringgit, selain meminta pemaju projek KAJ Development Sdn Bhd menumpukan kepada usaha menyiapkan terminal kapal persiaran berkenaan.

“Jadi apa yang saya nyatakan pendirian saya kepada syarikat tersebut ialah fokus kepada terminal kapal persiaran ini. Perkara lain jangan cakap dulu. Buat ini dulu,” tegasnya.

Dilancarkan oleh bekas perdana menteri Najib Razak pada 2014, projek Melaka Gateway bernilai RM43 bilion itu meliputi 246.45 hektar bertujuan mewujudkan tiga pulau buatan, pelabuhan laut dalam, terminal kontena dan kapal persiaran, marina, perkhidmatan pembinaan dan pembaikan kapal, taman industri maritim, hotel dan kondominium.

MICT merupakan salah satu daripada banyak komponen dalam projek Melaka Gateway.

Pembangunan projek itu adalah di bawah bidang kuasa Lembaga Pelabuhan Melaka, manakala operasinya terletak di bawah bidang kuasa Lembaga Pelabuhan Klang.

Bagaimanapun, pada tahun 2017, keadaan mula berubah.

Projek itu berdepan keskuran untuk dimulakan ketika pentadbiran ketua menteri Melaka ketika itu Idris Haron dan diteliti semula oleh penggantinya Adly Zahari pada 2018.

Projek itu kemudiannya ditamatkan oleh kerajaan negeri pimpinan Sulaiman pada 2020 selepas KAJ Development gagal menyiapkan kerja-kerja penambakan tepat pada masanya.

KAJ Development kemudiannya menyaman kerajaan Melaka tetapi gagal.

Menariknya, walaupun kalah dalam kes mahkamah, KAJ Development telah dilantik semula pada Mac tahun lalu sebagai pemaju projek Melaka Gateway.

Projek Melaka Gateway kini merupakan sebahagian daripada Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka yang melibatkan usaha penambakan yang diperluaskan melibatkan kawasan sepanjang 33km garis pantai Melaka.

Pengaktifan semula KAJ Development diumumkan oleh exco Melaka yang bertanggungjawab ke atas industri dan pelaburan Rauf Yusoh pada 9 Mac 2022.

Sulaiman, yang menamatkan kerja firma itu bagaimanapun tidak hadir.

Program bas henti-henti

Sementara itu, dalam isu berasingan Loke berkata program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) melalui inisiatif myBas Melaka akan dilaksanakan tahun ini, seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan semula baru-baru ini.

Dia memberi jaminan bahawa pengusaha bas tidak akan menghadapi risiko kerugian operasi kerana kerajaan persekutuan akan membiayai kos mereka.

Bagaimanapun, katanya, perbincangan dengan kerajaan negeri berhubung perkara berkaitan kos pelaburan dan pelantikan kontraktor sedang dijalankan.

“Seperti yang saya katakan belum ditentukan lagi. Setakat ini ada satu operator sedia ada. 

“Kita bayar kos operasi mereka. Apabila bayar mereka melalui kadar perjalanan mereka, jadi perkhidmatan itu lebih stabil. Pihak operator tak ada risiko dari segi kerugian operasi.

“Tugasnya beroperasi sahaja, ikut ketepatan dan waktu," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS