Umno akan menerbitkan surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang meluluskan usul tambahan parti itu agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan tahun ini.
Memetik laporan Bernama, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata dia akan meminta Setiausaha Agung parti Ahmad Maslan berbuat demikian untuk makluman kepada semua ahli.
"Itu satu tanda noktah bahawa Perhimpunan Agung UMNO adalah badan tertinggi Umno dan peraturan-peraturan telah diikuti, Perlembagaan juga dipatuhi maka noktah ini adalah penamat dan kita tutup buku untuk mempolemikkan apa-apa isu mengenainya," katanya.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata penerbitan surat tersebut diharap dapat menamatkan polemik berkaitan usul yang diluluskan semasa Perhimpunan Agung Umno 2022 pada Januari lepas.
Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengenalan Calon-Calon Pemilihan Umno 2023-2026 peringkat Kedah dan Perlis yang turut dihadiri Timbalan Presiden parti itu Datuk Seri Mohamad Hasan.
Terdahulu, Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob menggesa Ahmad Zahid mendedahkan surat ROS yang didakwa meluluskan resolusi supaya jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan.
Ismail berkata, Ahmad Zahid perlu menjelaskan perkara itu kerana terdapat laporan media yang bercanggah.
Is susulan kenyataan presiden Umno itu semalam bahawa Umno telah menerima surat daripada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengenai keputusan ROS pada Jumaat lalu.
Pada 20 Jan lalu, dua ahli Umno memfailkan notis bantahan kepada ROS berhubung ketetapan untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi itu.
Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom dan Aizat Fikri Mohd Nasir mendakwa resolusi itu tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan parti.