Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan sasar percepat usaha tingkat kelajuan internet

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata kerajaan melalui kementeriannya akan terus berusaha mempercepatkan perluasan capaian, serta meningkatkan kelajuan Internet di seluruh negara.

Beliau berkata pada masa ini, hanya kira-kira tiga peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara masih tidak mempunyai capaian Internet.

“Antara usaha yang telah dilakukan termasuklah peningkatan kapasiti rangkaian telekomunikasi, serta keupayaan infrastruktur sedia ada dan pembinaan menara telekomunikasi yang baharu.

“Selain itu, kerajaan beri tumpuan kepada pembangunan dan peningkatan kemudahan digital di luar bandar dan pedalaman, bagi memastikan kesamarataan akses kepada teknologi dan Internet di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengagihan Perantisiswa dan Perasmian MYDIGITAL.KKD di Universiti Teknologi Mara, di Shah Alam, Selangor hari ini.

Fahmi berkata keutamaan kementeriannya pada masa ini ialah untuk mengatasi jurang atau kesenjangan digital yang berlaku.

Mengulas mengenai Inisiatif PerantiSiswa, Fahmi berkata secara keseluruhan setakat 15 April tahun lepas jumlah permohonan diterima ialah 474,311 dan daripada jumlah itu, 368,803 penerima PerantiSiswa telah dikenal pasti manakala sebanyak 105,508 permohon gagal.

Bagaimanapun beliau berkata daripada 105,508 permohonan yang gagal itu, saringan kedua yang dijalankan mendapati 31,699 pemohon merupakan daripada golongan B40.

“(Permohonan) 3,1699 telah disaring lagi, ada beberapa pematuhan (yang perlu dipatuhi), adakah mereka pelajar separuh masa, pelajar akhir tahun, adakah mereka pernah menerima bantuan peranti, maka dari jumlah itu didapati 23,394 pelajar menepati syarat (untuk menerima peranti),” katanya.

Fahmi berkata inisiatif berkenaan melibatkan kos (keseluruhan) berjumlah RM450 juta dan telah memberi manfaat kepada 359,742 mahasiswa atau penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), dalam kelompok keluarga B40.

Sementara itu, beliau berkata bagi mempercepatkan pengagihan PerantiSiswa, KKD telah mengaktifkan 31 Pusat Pengagihan Berpusat di seluruh negara selama tiga minggu, bermula 17 Feb lepas.

“Alhamdulillah, melalui pengagihan berpusat ini, sebanyak 33,540 peranti telah diagihkan dalam tempoh tiga minggu sahaja. Baki pengagihan 9,000 peranti dijangka akan diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Ketika ditanya, adakah KKD akan meneruskan inisiatif tersebut bagi membantu pelajar sekolah dalam kalangan keluarga B40, beliau berkata pihaknya kini dalam proses meneliti perkara itu.

“Kita dalam proses meneliti permohonan tambahan, pandangan atau mungkin maklum balas, kritikan dan sebagainya. Pada waktu ini, kita mahu selesaikan baki pengagihan, tiba masa kita akan buat pengumuman,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS