Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Operasi imigresen bongkar penempatan haram Pati di Bandar Ainsdale
Diterbitkan:  Mar 5, 2023 11:53 AM
Dikemaskini: 3:53 AM

Satu lagi operasi bersepadu dijalankan Jabatan Imigresen Negeri Sembilan membongkar sebuah penempatan pendatang tanpa izin (Pati) di Bandar Ainsdale, Seremban, semalam.

Struktur rumah kayu, kedai runcit dan surau ditemui di tapak keluasan kira-kira dua padang bola berjaya dikesan, menurut laporan Utusan Malaysia.

Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, serbuan itu mendapati kawasan itu dihuni sekumpulan Pati warga Indonesia yang enggan pulang ke negara asal selepas permit kerja tamat tempoh.

“Sebelum ini, ada antara Pati ini yang bekerja sebagai pekerja buruh di kawasan berhampiran, tetapi apabila projek (perumahan) selesai mereka tidak pulang ke negara asal dan terus tinggal di situ.

“Memang masa itu mereka bekerja secara sah, tetapi apabila permit kerja tamat ada yang tidak pulang sebab itu kami ambil tindakan kerana tinggal lebih masa di negara ini di bawah Seksyen Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) (Pindaan 2002),” katanya dipetik laporan itu.

Dalam operasi itu pihak imigresen menahan 32 Pati yang terdiri daripada 16 orang lelaki, 15 wanita dan seorang kanak-kanak.

Pada Feb lalu, Tan mengetuai serbuan ke atas satu penempatan pendatang di Nilai Spring itu berkata, kali ini tapak itu terletak lebih dekat dengan jalan utama.

Sementara itu Pegawai Daerah Seremban, Mohd Nizam Tajul Arus berkata, penempatan haram Pati yang diserbu itu dikesan dibina atas tanah milik persendirian iaitu sebuah syarikat pemaju.

“Tanah itu bukan milik kerajaan, tapi tanah persendirian iaitu milik sebuah syarikat pemaju.

“Kami tidak pasti sama ada pihak pemaju tahu sama ada kawasan itu kini sudah menjadi penempatan warga asing atau tidak dan siasatan lanjut masih dilakukan,” katanya.

Tambahnya pemilik-pemilik tanah bertanggungjawab memastikan tanah mereka tidak diceroboh dan dijadikan penempatan haram oleh mana-mana pihak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS