Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi: Tak salah malah wajib cakap politik Islam di masjid, surau
Diterbitkan:  Mar 4, 2023 9:06 PM
Dikemaskini: 2:41 PM

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menegaskan bukan menjadi satu kesalahan untuk ahli politik memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau-surau.

Sebaliknya, menurut Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu adalah menjadi satu kewajipan untuk pemimpin bercakap mengenai politik Islam.

"Kita kena sedar dalam Islam, politik dan agama tak boleh dipisahkan. Nabi SAW pun cakap politik dalam khutbah.

“Kita bercakap tentang Islam dan dalam politik ada Islam, maka politik Islamlah. Tak jadi salah dan wajib untuk kita bercakap.

"Benda yang tak betul, kita kena tegur. Sama ada hal ehwal ekonomi, politik atau apa ke, yang salah wajib untuk orang Islam tegur. Termasuk amar makruf dan nahi mungkar," tegas Abdul Hadi dalam sidang media selepas hadir menyempurnakan Majlis Penutup Hari As-Sabiqun di Dewan Tok Guru, Rusila di Marang, Terengganu, hari ini.

Abdul Hadi berkata demikian mengulas larangan terhadap semua ahli politik termasuk ahli parlimen, ahli dewan undangan negeri (Adun) serta ahli Dewan Negara memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau di Terengganu, termasuk khutbah Jumaat.

"Itu mengulangi arahan yang lama, sejak tahun 1960an lagi," kata presiden PAS lagi.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu, Shaikh Harun Shaikh Ismail dalam satu kenyataan semalam berkata larangan tersebut dibuat agar semua tempat ibadat umat Islam di negeri itu tidak disalahgunakan untuk tujuan politik kepartian.

Menurut Shaikh Harun arahan larangan tersebut - yang bertarikh 2 Mac - dikeluarkan ekoran Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang dukacita apabila ada ahli politik tertentu mengajar agama atau menjadi khatib dan imam solat tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Bagaimanapun menurut Shaikh Harun, pengecualian diberikan kepada pemegang tauliah mengajar atau dengan kebenaran daripada Maidam Terengganu.

Mengulas lanjut larangan itu, Abdul Hadi PAS sudah melaluinya sejak sekian lama.

Malah, Abdul Hadi berkata dia akan tetap meneruskan aktiviti berceramah dan khutbahnya seperti biasa di masjid dan surau-surau.

"Saya akan teruskan ceramah seperti biasa di surau-surau dan masjid-masjid. Ya, (akan teruskan) macam biasa," jelasnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Abdul Hadi berkata permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menyertai PN akan diteliti dan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu tidak lama lagi.

Menurut Abdul Hadi, ini kerana penyertaan mana-mana pihak dalam gabungan itu perlu dibincangkan secara kolektif supaya keputusan terbaik dapat dicapai.

"Saya ada terima surat permohonan Pejuang untuk sertai PN, kita akan bincang dalam mesyuarat. (Tarikh mesyuarat) kita belum terima lagi dari setiausaha parti,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi turut menyifatkan permohonan tersebut sebagai perkembangan positif buat PN.

“Itu menandakan PN mendapat sambutan daripada semua pihak,” katanya.

Pejuang sebelum ini memaklumkan telah menghantar surat permohonan bagi menyertai PN sebagai anggotanya.

Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata, surat berkenaan diutuskan kepada Pengerusi PN Muhyiddin Yassin selain salinan turut diserahkan kepada Abdul Hadi dan Presiden Gerakan Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Penyokong PH kurang pendidikan?

Menurutnya lagi, keputusan untuk membuat permohonan berkenaan disepakatkan Majlis Eksekutif Pusat (MEP) Pejuang pada semalam selepas penelitian semua pilihan gabungan dan kerjasama politik yang ada.

Manakala mengulas kenyataan Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail bahawa hanya anak muda yang kurang berpelajaran, tiada pendapatan tetap dan menunggang motosikal ke sana sini saja yang mengundi PN, Abdul Hadi menafikannya.

Kata Abdul Hadi, golongan muda yang memberikan sokongannya kepada PN jelas mereka yang berpendidikan tinggi, namun sebaliknya pula anak muda yang menyokong PH.

"Itu dapat dilihat, (anak muda yang menyokong PN) mereka semua berpendidikan tinggi tetapi mungkin PH kurang berpendidikan tinggi," ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS