Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MIC gantung ketua bahagian didakwa hasut ahli sertai parti lain

MIC menggantung keahlian Ketua Bahagian Sepang V Gunalan selama enam bulan, berkuat kuasa serta merta setelah didakwa menghasut ahli parti itu menyertai parti lain.

Setiausaha Agung MIC RT Rajasekaran (gambar, bawah) mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini.

"Saya mengesahkan saudara Gunalan digantung selama enam bulan.

"Dia mempunyai 14 hari untuk membuat rayuan," katanya.

Malaysiakini telah melihat surat penggantungan bertarikh 3 Feb ditandatangani Presiden MIC SA Vigneswaran.

"Saya telah menerima banyak aduan terhadap anda bahawa anda telah meminta ketua/ ahli cawangan MIC di bahagian anda untuk menyertai parti politik lain.

"Tindakan anda dianggap menjejaskan kepentingan kongres.

"Oleh itu saya telah memutuskan, selepas berunding dengan timbalan presiden, untuk menggantung anda berkuat kuasa serta merta sebagai ahli MIC untuk tempoh enam bulan menurut kuasa kuasa yang diberikan kepada saya di bawah Perkara 61.1 Perlembagaan MIC, sementara menunggu siasatan tatatertib terhadap anda," katanya dalam surat itu.

Presiden MIC SA Vigneswaran.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Gunalan yang juga bekas ketua penerangan kebangsaan mengesahkan bahawa dirinya telah digantung.

"Ya, saya telah digantung selama enam bulan. Dan saya di sini ingin menegaskan dakwaan terhadap saya tidak benar," katanya.

Namun, katanya dia tidak akan membuat rayuan terhadap penggantungan itu.

"Saya akan membuat satu sidang media dalam masa terdekat untuk menjelaskan segalanya," katanya lagi.

Sebelum ini, beberapa sumber mendakwa PN dikatakan berjanji meletakkan Gunalan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS