Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Shahrizat: Kembali demi Wanita Umno kekal relevan

Bekas ketua pergerakan wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil telah mengesahkan dirinya bakal merebut semula jawatan itu pada pemilihan parti Mac ini.

Bercakap kepada Malaysiakini, bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata dia mengambil keputusan bertanding selepas berasa bimbang dengan sayap wanita Umno yang dilihat seolah-olah semakin tidak relevan kepada rakyat Malaysia khususnya golongan wanita.

"Sebenarnya, selepas saya mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan ketua wanita pada 2018, saya bukan menghilangkan diri. Saya sebenarnya menjadi pemerhati dan memberi peluang kepada pemimpin yang dikatakan lebih muda dan lain-lain.

"Jadi, saya mengambil keputusan untuk tidak campur tangan dalam urusan pentadbiran pucuk pimpinan sayap wanita. Tetapi, saya masih ahli Umno dan kekal bersama wanita Umno dalam masa itu.

"Cuma, saya lebih mendampingi NGO-NGO dan pemimpin-pemimpin yang lain di luar sana yang merupakan pengundi kita," katanya.

Kata Shahrizat, selaku orang politik pada akhirnya mereka mahu meraih undi orang ramai dan bukan hanya di kalangan ahli parti sahaja.

"Kita perlu relevan untuk masyarakat di luar dan untuk negara, terutamanya kepada pengundi.

"Kita perlu menjuarai isu-isu rakyat untuk kekal relevan. Jika, mereka barasa bahawa kita tidak memperjuangkan isu-isu mereka, maka kita tak relevan lagi. Ini yang membimbangkan saya dan membuat saya kembali bertanding bagi jawatan ketua wanita," katanya.

Shahrizat yang mengetuai Wanita Umno pada 2009 hingga 2018 mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan itu ketika pemilihan Umno 2018.

Keputusan itu diambil susulan tindakan beberapa pemimpin kanan termasuk presiden Umno ketika itu Najib Razak letak jawatan sebagai presiden Umno dan pengerusi BN selepas gabungan itu kalah pada PRU14.

Shahrizat ketika itu berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil serius suara lantang rakyat yang mahu melihat pembaharuan dalam Umno, selain memberi peluang kepada muka baru.

Dia yang juga bekas ahli parlimen Lembah Pantai digantikan oleh Noraini Ahmad.

Dilaporkan Noraini yang merupakan penyandang jawatan ketua wanita, akan mempertahankan pada pemilihan Umno kali ini yang akan diadakan pada Mac ini.

Sementara itu, Shahrizat berkata bahawa terdapat desakan untuk membuat perubahan dalam pergerakan wanita Umno.

Gilap pemimpin pelapis

"Saya percaya bahawa ada rasa terdesak untuk kita membuat perubahan yang ada dalam wanita Umno di dalam cara kita kerja.

"Kita mempunyai 'army' politik paling besar dalam negara. Bagaimana kita nak memberikan sumber inspirasi kepada mereka.

"Wanita Umno masih mempunyai semangat dan saya rasa bahawa semangat perlu digilap dan membangkitkan semula suara lantang wanita perkasakan 'tudung merah' supaya kita kekal relevan dan tidak dilupakan oleh masyarakat

"Mungkin oleh kerana tidak menyuarakan dengan lantang isu-isu pembelaan untuk wanita bagaimana kita nak bantu mereka mendapatkan hak mereka," katanya.

'Tudung merah' merujuk pemakaian yang sinonim dengan sayap utama Umno itu.

Ketika ditanya apakah agenda utama jika diberi peluang semula dipilih sebagai ketua wanita, Shahrizat berkata dia akan merangka hala tuju baru kepada pergerakan itu.

"Sebenarnya jika saya diberi peluang untuk mengemudi wanita Umno sekali lagi, saya bawa bersama semua pengalaman daripada menjadi menteri yang menentukan hala tuju.

"Kementerian saya kata bukan mudah, masa itu saya menjaga lebih 1.3 juta wanita Umno dan saya faham bagaimana mustahaknya kita ada satu sistem dan juga 'road map' untuk menentukan hala tuju Wanita Umno dimana ada tempat untuk semua lapisan pemimpin dalam Umno.

"Daripada pemimpin yang berpengalaman dan juga yang mustahak pemimpin pelapis Umno akan membawa mereka bersama-sama dengan pemimpin yang berada hari ini.

"Saya akan pastikan masa hadapan pemimpin pelapis lebih cerah, mereka mesti diberi peluang, gilap potensi mereka perlu dilatih untuk menjadikan pemimpin bukan hanya mempunyai pengalaman tetapi mesti ada kemahiran politik," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS