Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak sebutpun Menu Rahmah - Exco PAS perjelas curah air oren jadi kuah
Diterbitkan:  Mar 3, 2023 11:44 PM
Dikemaskini: 4:04 PM

Exco PAS bagi portfolio kebajikan, pembangunan wanita dan keluarga, dan perpaduan kerajaan Terengganu Hanafiah Mat berkata hidangan yang dipaparkan dalam satu rakaman video tular tidak ada kaitan dengan program Menu Rahmah.

Menurut laporan Sinar Harian, Adun Chukai itu merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan video yang membuat tuduhan palsu kepadanya.

Hanafiah dipetik berkata pada masa rakaman video itu, dia sedang makan tengah hari bersama seorang rakan di sebuah kedai di luar Terengganu yang tidak ada kaitan dengan Menu Rahmah.

Katanya, menu di restoran berkenaan berupa sepinggan nasi bersama seekor ikan goreng, kobis, ayam goreng dan telur goreng.

"Harga untuk dua orang makan adalah sebanyak RM15 dan jika ia Menu Rahmah takkanlah harganya sampai RM15.

"Apa yang saya cuba sampaikan adalah saya makan nasi kena ada kuah, jadi saya curah air oren ke dalam pinggan dan saya tidak menyebut langsung pasal Menu Rahmah," katanya.

Hanafiah memberikan masa dua hari terhadap pihak yang melemparkan tuduhan terhadapnya untuk memohon maaf atau berdepan tindakan undang-undang.

Adun Chukai itu berkata kontroversi itu tercetus kerana ada cubaan untuk menjatuhkan reputasinya sebagai wakil rakyat.

PRN dah hampir

"Ini semua strategi nak menjatuhkan saya kerana PRN (Pilihan Raya Negeri) sudah pun hampir dan saya sudah mendapatkan pandangan peguam untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba memburukkan saya.

"Berkenaan video yang dikatakan sudah tiada di akaun TikTok , saya tak 'delete' pun cuma 'hide' sementara atas nasihat peguam," katanya.

Terdahulu, dalam video berkenaan, Hanafiah dilihat mengadu tentang kekurangan hidangan nasi campur yang dimakannya.

"Ikan seekor, sayur dua butir, kuah tak ada pula.

"Ini minta kuah dia, aku bubuh hah," keluhnya.

Hanafiah kemudian menuangkan air minuman di dalam cawan ke dalam hidangannya itu.

"Ni ha kita curah air oren. Jadilah hah," katanya lagi.

Video tersebut mendapat kecaman banyak pihak, termasuklah beberapa Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS