Paling Popular
Terkini

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengheret Ahli Parlimen pendang Awang Hashim ke mahkamah atas dakwaan fitnah.

Peguam Anwar, Sankara Nair memfailkan saman fitnah tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Saman itu berhubung dua dakwaan - dakwaan yang Anwar memiliki sikap dendam yang lebih teruk daripada Dr Mahathir Mohamad dan dakwaan berkenaan keabsahan pelantikan Anwar sebagai perdana menteri kesepuluh.

Menurut salinan pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa defendan, iaitu Awang, membuat kenyataan yang didakwa bersifat fitnah kepada media di lobi Parlimen pada 21 Februari lalu.

Anwar mendakwa kenyataan yang dibuat bersifat fitnah kerana ia antaranya membayangkan dia menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan untuk campur tangan dalam penguatkuasaan undang-undang dan pihak pendakwaan demi agenda politik peribadi dan tujuan peribadi yang lain.

Dia juga mendakwa kenyataan Awang antaranya membayangkan dia telah menipu rakyat malaysia dan Yang di-Pertuan Agong berkenaan jumlah ahli parlimen yang menyokongnya dalam meraih majoriti di Dewan Rakyat.

Dia mendakwa walapun surat tuntutan telah diberikan kepada Awang pada 21, 24 dan 28 Februari agar dia menarik balik kenyataan, memohon maaf dan membayar ganti rugi, ahli parlimen PAS itu membalas surat tersebut pada 27 Februari dan 2 Mac untuk menolak tuntutan tersebut.

Dakwanya lagi, ketika sidang Parlimen pada 27 Februari, Awang tanpa rasa kesal mengeluarkan beberapa kenyataan lain, termasuk menyifatkan Anwar sebagai "Bapa Saman Negara".

Bagaimanapun, kenyataan yang dikeluarkan ketika sidang Dewan Rakyat dilindungi oleh hak keistimewaan Parlimen dan tidak menjadi dasar kepada tindakan sivil oleh Anwar ini.

Dalam saman ini, Anwar antara lain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk.

Anwar juga menuntut injunksi mahkamah untuk menghalang defendan daripada terus membuat kenyataan bersifat fitnah, faedah lima peratus daripada jumlah ganti rugi yang ditetapkan mahkamah, bermula dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh, kos dan relif lain yang dirasakan sesuai oleh mahkamah.

Awang memberitahu Malaysiakini dia masih belum menerima makluman berkenaan saman ini.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS