Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Audit 1MDB: Najib, Arul Kanda dibebas tuduhan salah guna kuasa

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini membebaskan dan melepaskan bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy daripada pertuduhan meminda laporan audit 1MDB.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua mereka.

Najib yang juga bekas menteri kewangan, didakwa menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri untuk mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 2016 untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Arul Kanda didakwa bersubahat dengan bekas perdana menteri itu dalam membuat pindaan terhadap laporan audit berkenaan.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah dalam kes rasuah membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Ketika membacakan penghakimannya hari ini, Mohamed Zaini berkata, berhubung pertuduhan terhadap Najib, Ketua Audit Negara (KAN) ketika itu, Ambrin Buang - yang menjalankan audit terhadap 1MDB - diberikan kebebasan menjalankan tugasnya di bawah Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan.

Hakim itu berkata Ambrin diberikan kuasa yang luas di bawah Akta Audit 1957.

“Oleh itu, KAN diberi kebebasan untuk menjalankan tugasnya tanpa rasa takut dan pilih kasih. Oleh itu, hanya sedikit sebab, jika ada, untuk KAN merasa takut, dipaksa atau terpaksa untuk membuat sebarang keputusan yang bertentangan dengan kepercayaan atau tugasnya.

“Dia menurut saya bertekad untuk menjalankan tugasnya dengan bersungguh-sungguh dan berhemah. Dia akan menjawab sebarang soalan yang dikemukakan secara terus dan tidak berbasa basi apabila perlu. Dia adalah lambang profesionalisme,” kata Zaini.

Hakim itu menyatakan bahawa "tidak ada hubungan sebab akibat antara pindaan yang dibuat dan salah guna kuasa yang dikatakan berlaku.

“Tiada bukti untuk mencadangkan atau membuktikan bahawa tertuduh kedua (Najib) secara jelas mengarahkan pindaan yang dibuat untuk membebaskannya daripada liabiliti sivil atau jenayah.

“Beliau hanya bimbang laporan (audit 1MDB) boleh diputar belit secara politik. Pihak pendakwaan tidak dapat menimbulkan bagaimana item yang dikeluarkan atau dipinda boleh menimbulkan liabiliti sivil atau jenayah kepada tertuduh kedua.

“Pada pendapat saya, item yang dikeluarkan atau dipinda daripada laporan audit terdahulu tidak akan mendedahkan atau menimbulkan sebarang liabiliti sivil atau jenayah kepada tertuduh kedua. Pindaan itu, seperti yang dinyatakan oleh Ketua Audit Negara, adalah wajar,” kata hakim itu.

Hakim berpendapat Arul konsisten sepanjang keterangannya, menjawab soalan yang dikemukakan dengan jujur ​​dan sebaik mungkin, dan sepadan dengan semua dokumen yang dikemukakan dan keterangan saksi lain.

Zaini berkata Arul tidak cuba meminimumkan peranannya dan memperbesarkan sebarang kesalahan Najib, selain keterangannya memihak kepada bekas perdana menteri itu.

"Pihak pendakwaan dalam pemeriksaannya tidak pernah mencabar mana-mana jawapan yang diberikannya ketika pemeriksaan balas yang memihak kepada tertuduh kedua (Najib), dan tidak ada sebarang percubaan untuk menganggapnya sebagai saksi yang bermusuhan," kata hakim itu sambil menyatakan bahawa pihak pendakwaan gagal menimbulkan sebarang percanggahan pada keterangan Arul.

Katanya tertuduh pertama tidak cuba menyamarkan kepincangan yang menyelubungi 1MDB. Dia terikat untuk menyelamatkan syarikat itu dan telah meninggalkan kerjaya yang dianggap cerah di luar negara.

“Adalah menjadi pengetahuan umum bahawa dia telah difitnah secara terbuka kerana hal ehwal 1MDB, mungkin secara tidak adil, kerana banyak masalah yang timbul sebelum zamannya.

“Tiada bukti dalam perbicaraan ini untuk mencadangkan beliau bersubahat atau bertanggungjawab terhadap masalah yang melanda 1MDB, dan tiada sebarang cadangan dibuat oleh pihak pendakwaan,” kata Zaini.

Sebelum ini, pihak pendakwaan dibenarkan memanggil Arul untuk memberi keterangan terhadap Najib.

Zaini membuat keputusan membebaskan Arul berikutan keputusan mahkamah mengeluarkan sijil indemnity terhadapnya berhubung keterangan itu.

Ketika ditemui media di pintu masuk Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas prosiding hari ini, peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah berkata anak guamnya Najib telah dibersihkan oleh keputusan berkenaan.

"Beliau (Najib) memaklumkan kepada kami bahawa dia sangat lega kerana hakim telah membuat penemuan berkenaan," katanya sambil menambah mahkamah memutuskan tiada unsur rasuah atau suapan dalam kes tersebut.

Shafee menyifatkan kes laporan audit 1MDB antara kes berbaur politik, selain kes membabitkan RM42 juta dana SRC International.

“Ini (kes audit 1MDB) adalah kes pertama daripada semua kes berunsur politik yang kami peroleh keputusan yang baik. Kami berharap Jabatan Peguam Negara tidak akan merayu.

"Kami berharap ini adalah permulaan kepada banyak perkara baik yang akan datang," kata Shafee kepada wartawan.

Sementara itu, ketika ditemui media selepas prosiding, Arul melahirkan rasa syukur atas keputusan itu dan sokongan yang diterima daripada keluarga serta penyokongnya selama ini.

“Keadilan telah dilaksanakan. Kebenaran telah terserlah. Saya jujur dalam apa yang saya lakukan (di 1MDB),” katanya sambil berseloroh menyatakan sudah tiba masanya untuk mengemas kini resumenya.

Pada 7 Sept tahun lepas, pihak pendakwaan menutup kes terhadap kedua-dua mereka selepas memanggil 16 saksi, termasuk Arul, untuk memberi keterangan dalam perbicaraan yang berlangsung selama 43 hari.

Sejak perbicaraan bermula pada 18 Nov 2019, turut dipanggil sebagai saksi pendakwaan ialah bekas ketua setiausaha negara, Ali Hamsa; bekas ketua audit negara Ambrin Buang dan Madinah Mohamad; pegawai Jabatan Audit Negara, Nor Salwani Muhammad dan bekas ketua setiausaha sulit Najib, Shukry Mohd Salleh.

Salwani sebelum ini berkata dia menyimpan salinan laporan audit asal 1MDB daripada dimusnahkan sebelum pindaan dibuat ke atas laporan itu untuk dibentangkan kepada PAC pada 2016.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa selepas mesyuarat pada 24 Feb 2016, keputusan dibuat untuk mengeluarkan atau mengubah bahagian tertentu dalam laporan audit 1MDB, termasuk menggugurkan kehadiran ahli perniagaan yang kini diburu, Low Taek Jho (Jho Low) pada mesyuarat lembaga pengarah 1MDB.

Isu lain yang didakwa digugurkan daripada laporan audit itu ialah dua penyata kewangan 1MDB pada 2014 yang bercanggah antara satu sama lain.

Selain Arul dan Ali, individu lain yang hadir pada mesyuarat itu ialah Ambrin; bekas pegawai Jabatan Audit Negara, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad; Shukry dan wakil Jabatan Peguam Negara ketika itu, Dzulkifli Ahmad.

Sebelum ini anak syarikat 1MDB, SRC dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), yang juga memiliki sepenuhnya dana kekayaan negara Malaysia itu.

Najib pernah menjadi penasihat emeritus SRC dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Selepas selesai proses rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, Najib memohon semakan semula untuk membatalkan sabitan bersalah dan hukuman penjara dalam kes membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC.

Mahkamah Persekutuan akan menyampaikan keputusannya pada 31 Mac.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga mempunyai tiga lagi kes mahkamah yang belum selesai, iaitu perbicaraan berkaitan rasuah 1MDB membabitkan dana RM2.28 bilion, kes pengubahan wang haram SRC International melibatkan RM27 juta, dan kes pecah amanah membabitkan dana RM6.6 bilion International Petroleum Investment Company (IPIC).

Bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Mohd Irwan Serigar Abdullah adalah tertuduh bersama dalam kes IPIC.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS