Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Idrus Harun dilantik semula sebagai AG selama 6 bulan lagi
Diterbitkan:  Mar 3, 2023 10:23 AM
Dikemaskini: 3:17 AM

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan pelantikan semula Idrus Harun sebagai peguam negara berkuat kuasa 6 Mac ini.

Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali memaklumkan Idrus akan menyandang jawatan itu untuk tempoh enam bulan lagi.

Dalam satu kenyataan, Mohd Zuki berkata pelantikan itu adalah selaras dengan Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Pelantikan semula itu dibuat di tengah-tengah banyak spekulasi mengenai calon yang akan mengisi jawatan itu selepas kontrak Idrus berakhir bulan ini.

Bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu wartawan bahawa perkara itu "masih dibincangkan".

Idrus dilantik sebagai peguam negara pada 6 Mac 2020 oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Dia menggantikan Tommy Thomas, yang meletak jawatan apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada tahun yang sama.

Nama lain yang sebelum ini disebut-sebut menggantikan Idrus ialah Ahmad Fairuz Zainol Abidin, Kamaludin Md Said dan Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Ahmad Fairuz dan Kamaludin sebelum ini pernah berkhidmat di Jabatan Peguam Negara sebelum dilantik sebagai hakim.

Selain itu, Ahmad Fairuz juga merupakan bekas timbalan pengerusi eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS