Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hassan bela MP pembangkang di Johor kurang dana ketika banjir

PARLIMEN | Seorang ahli parlimen kerajaan mempertahankan ahli parlimen pembangkang yang bergelut dari segi kewangan untuk membantu penduduk di kawasannya.

Menyentuh isu peruntukan sama rata untuk wakil rakyat, Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2023 hari ini memberi contoh insiden banjir yang berlaku di Johor.

“Perdana menteri kena lihat misalnya di Johor sekarang banjir, Johor ada 26 ahli parlimen - 24 daripada PH dan BN. PN ada dua iaitu Pagoh dan Mersing.

“Sekarang bayangkan banjir di Mersing, ahli parlimen Mersing tidak diberi peruntukan. Ahli parlimen lain dapat peruntukan. Jadi bagaimana dia nak tolong sedikit sebanyak penduduk di situ?

“Bukan semua ahli parlimen kita yang kaya. Kalau kita (kerajaan) okey (beri peruntukan) tapi kalau lawan pandai-pandailah. Ini mesti adil,” tegasnya.

Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) kemudian berdiri dan mengucapkan terima kasih atas kenyataan Hassan.

Ahmad Marzuk Shaary

Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) kemudian mencelah dan memuji tindakan Hassan kerana menurutnya ahli-ahli parlimen pembangkang memang sentiasa menyuarakan isu tersebut, dan menuntut keadilan diberikan kepada mereka.

Johor antara negeri terburuk dilanda banjir kali ini, dengan jumlah mangsa meningkat kepada 26,633 orang setakat dua petang ini.

Jumlah itu hampir tiga kali ganda berbanding jumlah mangsa pada lapan malam tadi, iaitu seramai 9,162 orang.

“Saya ni umur bukan panjang sangat.. sekurang-kurangnya, kita buat satu (perkara) betul - perlu ada pindaan undang-undang tak kira kerajaan atau pembangkang, hak peruntukan kepada parlimen diberi sama rata.

"Kalau YAB Tambun (Anwar) dapat buat, amat cantik,” kata Hassan lagi.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama Hassan membangkitkan perkara ini.

Sebelum ini, dia berkata peruntukan sama rata akan meningkatkan keberkesanan pusat khidmat ahli parlimen dan mengelakkan amalan rasuah kerana ahli parlimen tidak lagi perlu bergantung kepada syarikat mahupun orang persendirian untuk meraih dana.

Parti dan ahli politik juga tidak perlu risau lagi untuk menjadi pembangkang kerana mereka tetap akan mendapat peruntukan daripada kerajaan, selain ia akan mewujudkan suasana politik yang sihat, katanya ketika itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS