Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Goda isteri orang, bekas pegawai kanan ATM didenda RM6,000
Diterbitkan:  Mar 2, 2023 3:22 PM
Dikemaskini: 8:32 AM

Seorang bekas pegawai kanan tentera didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di Petaling Jayahari ini, atas pertuduhan memikat seorang wanita yang merupakan isteri orang, tujuh tahun lepas.

Majistret Zhafran Rahim Hamzah menjatuhkan hukuman itu ke atas Azmi Ali ,48, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah kemudian memerintahkan bapa dua anak itu menjalani hukuman penjara lima bulan sekiranya dia gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Azmi didakwa dengan niat jenayah memikat seorang wanita berusia 44 tahun yang telah bersuami sehingga melakukan persetubuhan di sebuah rumah di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, di Petaling Jaya, awal tahun 2016.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam Azman Zakaria yang mewakili tertuduh memohon hukuman berbentuk bon di bawah Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) atas alasan anak guamnya telah insaf.

“Sekiranya Seksyen 294 ini tidak digunakan saya mohon hukuman denda kerana ini merupakan kesalahan kali pertama anak guam saya serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Sejak kes ini, dia telah dinasihatkan untuk berhenti dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) setelah berkhidmat selama 28 tahun. Anak guam saya telah berkahwin dan bekerja sebagai pegawai keselamatan dengan pendapatan RM4,500 serta menjaga ibu bapanya,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md Kamal membantah permohonan hukuman di bawah Seksyen 294 dan memohon hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh.

"Sejak kes ini, pengadu mengalami pelbagai masalah termasuk institusi perkahwinan dan keluarganya terjejas.

"Pengadu juga mengalami kemurungan dan menerima rawatan mental serta kaunseling di klinik kesihatan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS