Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan akan meminda segala kelemahan yang terdapat dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971, sidang Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin berkata antara perkara yang sedang dipertimbangkan untuk dipinda ialah supaya persatuan pelajar universiti dapat menguruskan sendiri akaun kewangan persatuan mereka.

“(Perkara) itu dalam proses dan kita akan cuba bawa perkara ini dalam penggal parlimen yang akan datang,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri hari ini.

Mohamed Khaled menjawab soalan tambahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang berpendapat AUKU masih mempunyai beberapa peruntukan yang menyekat kebebasan pelajar universiti dalam pelbagai aspek.

Justeru Yii ingin tahu jika KPT akan melaksanakan dialog bersama pihak berkaitan bagi mengembangkan minda anak muda dan generasi pelapis masa depan.

Selain itu, Mohamed Khaled berkata kerajaan memberi kebebasan kepada pelajar universiti untuk menyertai mana-mana parti politik sama ada di dalam atau luar kampus serta menawarkan diri menjadi bertanding dalam pilihan raya.

“Semua perkara itu telah pun dilonggarkan dan kemungkinan termasuk perkara-perkara dicadangkan oleh Yang Berhormat (Mersing),” katanya bagi menjawab soalan tambahan Islahuddin Abas (PN-Mersing).

Sebelum itu, Islahuddin bertanya kalau kementerian akan memberi kelonggaran kepada pertubuhan parti politik untuk menubuhkan cawangan mereka di kampus universiti bagi menyuburkan amalan demokrasi serta membudayakan politik matang selaras dengan reformasi pendidikan.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata memandangkan kerajaan tiada cadangan memansuhkan Auku 1971, maka lantikan naib canselor universiti awam oleh menteri akan diteruskan mengikut prosedur dan ketetapan akta berkenaan yang telah diluluskan di parlimen.

Dia menjawab soalan asal dikemukakan Islahuddin yang ingin tahu sama ada sama ada kerajaan akan meneruskan atau tidak lantikan naib canselor universiti oleh menteri, susulan kerajaan mengambil keputusan tidak memansuhkan Auku 1971.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS