Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pejuang kemuka permohonan mahu sertai PN
Diterbitkan:  Mar 2, 2023 11:23 AM
Dikemaskini: 6:50 AM

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengumumkan langkah terbaru mereka dalam politik dengan menyatakan hasrat untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata dia sudah mengutuskan sepucuk surat kepada Pengerusi PN Muhyiddin Yassin untuk memohon agar parti terbabit diterima sebagai anggota komponen PN.

Katanya keputusan tersebut dibuat selepas mereka mencapai kesepakatan melalui Majlis Eksklusif Pusat (MEP) Pejuang.

Menurutnya salinan surat berkenaan juga dimajukan kepada PAS dan Gerakan.

“Keputusan untuk membuat permohonan ini telah disepakati oleh MEP Pejuang dua hari lepas setelah penelitian dan penilaian khusus semua pilihan gabungan atau kerjasama politik yang ada.

“Ini adalah sesuai dengan mandat yang kami perolehi daripada perhimpunan agung Pejuang kali kedua,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu Pejuang mengambil keputusan untuk berundur daripada Gerakan Tanah Air (GTA) atas alasan bagi memberi tumpuan kepada usaha pengukuhan parti itu sebelum memberi nilai tambah kepada mana-mana gabungan.

Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan para perwakilan dalam perhimpunan agung Pejuang kedua ekoran prestasi teruk parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

Mukhriz berkata keputusan mahu menyertai PN itu terhasil daripada pelbagai perkembangan termasuk pertimbangan bahawa tidak memadai jika kerjasama berbentuk pakatan pilihan raya diwujudkan hanya untuk mengelak pertindihan kerusi yang ditandingi.

Lebih-lebih lagi katanya jika lambang berasingan digunakan oleh kedua-dua pihak yang berpakat.

“Lebih menguntungkan semua pihak jika Pejuang menyertai PN, dan bertanding menggunakan lambang PN. Tentunya ini bermakna kesepakatan Pejuang dengan PN itu tidak terhad hanya kepada pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung tak lama lagi tetapi juga untuk jangka masa panjang,” katanya.

Tambah bekas anggota Parlimen Jerlun itu, penyertaan Pejuang sebagai anggota komponen PN adalah untuk memastikan tiada perpecahan undi Melayu dalam pilihan raya yang mendatang.

“Diharapkan kepimpinan PN akan mempertimbangkan permohonan Pejuang dan memberi respon yang positif,” kata Mukhriz.

‘Ada 2 parti mohon masuk PN’

Sementara itu Setiausaha Agung PAS merangkap Ahli Majlis Tertinggi PN Takiyuddin Hassan berkata, Pengerusi PN sudah membuat kenyataan dan akan membawa permohonan berkenaan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan itu.

Menurutnya, mesyuarat berkenaan akan diadakan dalam masa terdekat namun tarikh masih belum ditetapkan.

"Sebenarnya ada dua permohonan daripada dua parti iaitu Pejuang dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) yang memohon untuk menyertai PN.

"Ini menunjukkan PN menarik perhatian dan juga minat bukan sahaja individu dalam kalangan orang biasa, malah parti politik untuk menyertainya.

"Walaupun kita belum lagi menjadi kerajaan di peringkat persekutuan, tetapi sudah ada sambutan," katanya kepada media selepas Program Prihatin Kota Bharu Cakna Kota Lama di Kota Bharu, hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS