Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kos SMS GOV, RM0.001 bagi setiap mesej
Diterbitkan:  Mar 2, 2023 10:18 AM
Dikemaskini: 2:18 AM

PARLIMEN | "Bagi kategori kritikal ini, syarikat telekomunikasi yang terlibat akan membantu menghebahkan SMS ini tanpa sebarang caj," kata menteri digital Fahmi Fadzil.

SMS tidak kritikal daripada "GOV" berharga RM0.001 setiap mesej manakala pesanan kritikal adalah percuma, menurut makluman menteri di Dewan Rakyat.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata kerajaan memeterai perjanjian dengan syarikat telekomunikasi pada Julai 2020 untuk menyediakan sistem SMS "GOV" bagi membantu kerajaan berkongsi komunikasi kritikal dan inisiatif kerajaan dengan pengguna telefon bimbit.

"Kandungan hebahan SMS bagi kategori kritikal adalah dikhususkan kepada pengurusan wabak seperti Covid-19, bencana alam dan perkara-perkara melibatkan keselamatan awam dan negara.

"Bagi kategori kritikal ini, syarikat telekomunikasi yang terlibat akan membantu menghebahkan SMS ini tanpa sebarang caj kepada kementerian dan agensi yang memohon," katanya.

Fahmi menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang meminta jumlah yang dibelanjakan dan peruntukan untuk perkhidmatan SMS "GOV" itu.

Pun begitu, Wong tidak menyoal mengenai kos bagi setiap mesej.

Fahmi tidak mendedahkan jumlah perbelanjaan keluruhan mahupun peruntukan dana oleh Putrajaya.

Bagaimanapun, berdasarkan anggaran 29 juta telefon pintar - seperti yang dipetik oleh laman web Malaysia Digital Economy Corporation (Mdec) - setiap SMS sepatutnya berharga RM29,000.

Mdec merupakan sebuah agensi di bawah kementerian yang diterajui Fahmi.

Sistem SMS "GOV" sering digunakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia ketika itu pada 2021 dan 2022 untuk mempromosikan acara kerajaan seperti "100 hari Keluarga Malaysia" dan acara "Jelajah Keluarga Malaysia".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS