Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Kelantan mampu membangun seperti Selangor jika ia diberi peluang untuk membina pelabuhan laut dalam untuk sektor perdagangan di Pantai Timur, kata Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang).

Dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini, ketua pemuda Bersatu itu berkata ini memandangkan negeri yang dipimpin PAS sejak 1990 itu mempunyai kedudukan yang strategik untuk menjana pendapatan negara.

“Dengan adanya ECRL (Laluan Rel Pantai Timur), dengan adanya pelabuhan dan dengan siapnya Lebuhraya Central Spine Road, Kelantan juga boleh membangun seperti Selangor dan negeri-negeri lain,” katanya.

Wan Ahmad Fayhsal turut menyentuh mengenai projek ECRL dengan mengingatkan agar ia tidak dijadikan projek "gajah putih", sebaliknya dimanfaatkan sepenuhnya dengan perancangan ekonomi yang menyeluruh agar kargo yang dibawa dari Pantai Barat merentasi Banjaran titiwangsa sampai ke Pantai Timur untuk ke pasaran di Indochina.

Menyifatkan Kelantan sebagai "pintu masuk" Laluan Sutera Moden, dia berkata jarak antara Tumpat ke negara-negara Indochina lebih dekat berbanding jarak antara rantau itu dengan Singapura.

“Jadi apakah salahnya kalau Kelantan diberi peluang untuk membangunkan sebuah pelabuhan laut dalam yang mampu menampung perdagangan yang ada di Pantai Timur dan Semananjung,” katanya lagi.

Sambil merujuk kepada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan, dia memberitahu sekiranya Kelantan tidak mendapat royalti, sekurang-kurangnya biarlah negeri itu diberikan lesen pelabuhan laut dalam.

“Biar kami cari pendana-pendana swasta untuk bangunkan infrastruktur yang kritikal ini dan kita (Kelantan) akan bantu untuk menambah KDNK (keluaran dalam negara kasar) negara melalui gerbang timur ekonomi Malaysia,” katanya.

Pada 24 Feb, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berkata Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak 5 peratus kerana menurut Akta Laut Wilayah 2012 menetapkan bahawa negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika.

Perjanjian Pembayaran Wang Tunai yang ditandatangani antara Petronas dan kerajaan Kelantan dan Terengganu memperuntukkan dua negeri itu boleh diberi pembayaran tunai sebanyak lima peratus untuk petroleum yang didapati dan diperolehi dalam jarak tiga batu nautika dari garis air surut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS