Paling Popular
Terkini

Tuan Ibrahim Tuan Man (PN - Kubang Kerian) menggesa pengeluar sarung tangan, Top Glove berkongsi keuntungan dengan penoreh getah bagi membantu meringankan beban mereka.

Berucap di Dewan Rakyat hari ini, Tuan Ibrahim berkata, Top Glove mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit ketika gelombang Covid-19 dengan membekalkan sarung tangan ke seluruh dunia.

Justeru katanya, Top Glove sewajarnya mencontohi Padibernas Nasional Berhad (Bernas) yang berkongsi keuntungan dengan pesawah.

"Alangkah baik jika syarikat lain seperti Top Glove, yang mengaut untung jutaan ringgit membekalkan sarung tangan ke seluruh dunia semasa Covid turut menyumbang kepada penoreh getah yang berdepan masalah kos dan harga getah tak stabil dan tidak mampan," katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Parlimen hari ini.

Timbalan presiden PAS itu berkata walaupun kerajaan menaikkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah daripada RM2.50 sen kepada RM2.70 sen sekilogram, namun langkah itu tidak memadai dalam membantu penoreh getah yang berdepan kesulitan.

"Hari ini penoreh getah berdepan dengan masalah penyakit (pokok getah) yang melanda seluruh negara, sebelum ini dengan (tanaman) pisang. Sampai sekarang kerajaan tak ada penyelesaian kepada penyakit yang melanda penanam pisang.

"Getah meluruh tiga kali setahun, menyebabkan susu tak keluar hasil dan penoreh getah berdepan dengan masalah serius,” katanya.

Dia juga meminta kerajaan mengenal pasti keluasan tanaman getah yang dijangkiti penyakit dan mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi perkara itu.

Terdahulu Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 baru-baru ini mengumumkan Bernas bersetuju berkongsi keuntungan daripada import beras dengan menyumbang 30 peratus daripada keuntungan bersihnya kepada pesawah.

Anwar,yang juga menteri kewangan, berkata ia adalah tambahan kepada sumbangan RM60 juta yang akan terus disalurkan Bernas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS