Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Dalam membidas Anwar Ibrahim yang membatalkan kelulusan enam projek tebatan banjir di bawah kerajaan sebelum ini, ahli Parlimen PAS  mengibaratkan perdana menteri seperti seekor burung “tiung yang bercakap” 

Mereka mendakwa seperti tiung yang hanya pandai berkata-kata tanpa memahami apa yang diperkatakan itu - Anwar juga tidak menyedari apa yang sedang berlaku ketika membuat keputusan berkenaan.

Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mempersoalkan bagaimana projek -projek itu boleh dibatalkan sedangkan ia masih belum bermula.

Tuan Ibrahim Tuan Man (PN - Kubang Kerian)

Katanya, projek pembinaan kolam takungan dwifungsi bagi tebatan banjir dan sumber bekalan air mentah di Sungai Rasau dan Sungai Klang, serta  Projek Pembangunan Lembangan Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 3 masih belum mempunyai kontraktor dan masih pada "peringkat rundingan".

“Saya rasa pelik sebab projek yang nak ditamatkan ini belum mula, belum laksana, belum ada Surat Setuju Terima, belum lantik kontraktor. 

“Bagaimana kerajaan tiba-tiba nak umum batalkan perkara yang belum mula… yang peliknya umum penjimatan. 

“Saya fikir kalau kita tunda projek tersebut, bukan penjimatan (dapat dicapai) tapi kerajaan berdepan kerugian pula,” kata Tuan Ibrahim (PN-Kubang Kerian) ketika membahaskan Belanjawan 2023 hari ini.

Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu)

Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) kemudian mencelah dengan perumpamaan burung tiung.

“Kubang Kerian (Tuan Ibrahim), (pembatalan) projek tebatan banjir, setuju atau tidak apa yang dicakapkan PM mungkin tak faham apa yang diperkatakan atau tidak faham macam burung tiong bercakap?” soal Rosol.

"Saya bersetuju dia (Anwar) macam burung tiong kerana dia tidak faham apa yang dikatakannya," kata Tuan Ibrahim.

Dia menambah bahawa perdana menteri mesti memberikan penjelasan mengenai perkara itu kerana perubahan iklim menyaksikan kekerapan banjir sejak kebelakangan ini semakin memburuk.

Kerajaan pentadbiran Ismail Sabri Yaakob sebelum ini telah memperuntukkan RM15 bilion untuk rancangan tebatan banjir sehingga 2030 sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk menangani masalah banjir di negara ini.

Ketika itu, kerja -kerja tebatan banjir berada di bawah bidang kuasa Kementerian Alam Sekitar dan Air - yang diterajui oleh Tuan Ibrahim.

Selepas perubahan dalam kerajaan, Anwar pada Disember 2022 menghentikan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion yang didakwa diluluskan melalui tender langsung.

Dalam pembentangan semula Belanjawan 2023 Jumaat lepas, Anwar yang juga menteri kewangan, berkata enam projek tebatan banjir itu akan ditenderkan semula tahun ini pada bulan Jun.

Anwar Ibrahim (PH - Tambun)

Ini termasuk projek pembinaan kolam takungan dwifungsi Sungai Rasau dan Sungai Klang, serta Projek Pembangunan Lembangan Bersepadu (PLSB) Sungai Golok yang disebut oleh Tuan Ibrahim hari ini.

Anwar menambah bahawa tawaran tender semula yang digabungkan dengan pembatalan projek Jana Wibawa akan menjimatkan negara sebanyak RM3 bilion.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS