Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib tahu transaksi 1MDB yang 'kabur' melalui bank S’pura: Saksi
Diterbitkan:  Mar 1, 2023 2:42 PM
Dikemaskini: 8:04 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak tahu mengenai aliran dana 1MDB melalui laluan "yang kabur" di cawangan Bank BSI di Singapura, kata bekas kakitangan bank itu.

Bekas ketua perkhidmatan pengurusan kekayaan bank berkenaan, Kevin Michael Swampillai, memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa dana kekayaan negara Malaysia itu dan beberapa entiti berkaitan telah menggunakan dana fidusiari bank berkenaan.

Saksi pendakwaan ke-44 itu memberi keterangan bahawa bagi dana fidusiari yang diperbadankan dalam bidang kuasa luar pesisir, "objektif utama pelanggan apabila menggunakan dana (sebegitu) adalah untuk memudahkan pengaliran wang ke destinasi tertentu yang mereka pilih, di samping mengaburkan identiti pelabur" .

Dia berkata demikian ketika perbicaraan terhadap Najib berkaitan penyelewengan RM2.28 bilion dana 1MDB.

Swampillai berkata, dalam kes dana fidusiari dalam konteks penggunaannya oleh Aabar, SRC & 1MDB, wang yang dipindahkan ke dana ini tidak diletakkan kepada deposit, sebaliknya merupakan “saluran untuk menyalurkan wang kepada pelbagai benefisiari yang hanya diketahui oleh pelanggan sendiri sambil pada masa yang sama "mengaburkan" pelanggan daripada penelitian pelbagai pihak berkepentingan di Malaysia”.

Kevin, yang bertugas di Bank BSI antara Januari 2010 dan Julai 2016, berkata urusan am dikendalikannya melibatkan Yak Yee Chew, yang merupakan pengurus perhubungan bank itu bagi ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low).

Saksi itu berkata pada awal perhubungan dengan Low serta 1MDB dan SRC pada 2011, dia tidak mengetahui motif ahli perniagaan itu memilih penyelesaian dana fidusiari berbanding penyelesaian lain seperti insurans dan amanah.

Kevin bagaimanaoun mendakwa, dengan melihat semula berdasarkan maklumat yang keluar dalam domain awam sejak 2015, adalah jelas bahawa Low berniat agar dana fidusiari berkenaan adalah lebih baik kerana "memberi ilusi optik kepada pelbagai pihak berkepentingan di Malaysia dan di tempat lain, bahawa dana milik SRC, 1MDB dan Aabar dilaburkan dalam instrumen pelaburan bona fide seperti dana pelaburan”.

Saksi itu berkata, Low memilih struktur dana yang memiliki "aliran wang berlapis-lapis dan mengelabui identiti pelanggan" untuk transaksi 1MDB, SRC dan Aabar, yang merujuk kepada firma pelaburan di Abu Dhabi, Aabar Investments PJS.

“Walaupun arahan untuk melaksanakan urus niaga ini disampaikan oleh beberapa kakitangan syarikat pelanggan kepada Yak, saya selalu menganggap bahawa urus niaga ini dilakukan dengan pengetahuan perdana menteri ketika itu, Najib Razak,” kata Kevin.

Sangat sulit

Lelaki berusia 58 tahun itu memberi keterangan bahawa dia memiliki tanggapan tersebut berdasarkan fakta yang didakwa berikut:

SRC ialah sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan pada masa Najib menjadi menteri kewangan.

Najib adalah pengerusi lembaga penasihat 1MDB dan dana itu dimiliki sepenuhnya oleh kementerian berkenaan.

Makluman yang diberikan oleh Jho Low kepada BSI bahawa dia adalah penasihat kepada Najib, yang dimaklumkan kepadanya oleh pihak atasan dan Yak.

Bahawa dalam menghadapi soalan berterusan oleh BSI mengenai destinasi akhir dan penggunaan dana yang disalurkan melalui dana fidusiari itu, Low memberi respons secara konsisten bahawa urus niaga ini adalah pelaburan kerajaan-ke-kerajaan yang sangat sulit dan oleh itu tiada maklumat lanjut boleh diberikan”.

Saiz urus niaga itu adalah pada magnitud dan kekerapan yang tinggi sehinggakan ia memerlukan kelulusan peringkat tertinggi seperti yang "dikeluarkan oleh pegawai kerajaan yang mempunyai kedudukan tinggi seperti perdana menteri".

Swampillai memberi keterangan bahawa dana fidusiari ini termasuk Cistenique Investment Fund (Cistenique) dan Enterprise Emerging Market (EEMF), di mana kedua-duanya berada di Curacao di rantau Caribbean; serta Devonshire Capital Growth Fund (Devonshire) yang berpangkalan di British Virgin Island(BVI) dan Bridge Absolute Return Fund (Bridge) yang berpangkalan di Cayman Islands.

Menurutnya setiap dana ini berada di bawah bidang kuasa dana luar pesisir yang dianggap sebagai "ringan" dari segi pengawasan dan kawalan kawal selia.

Menurut pihak pendakwaan, fasa ketiga (daripada empat fasa keseluruhan kes rasuah dan pengubahan wang haram 1MDB) melibatkan usaha sama yang dikatakan antara 1MDB dan Aabar dalam bentuk syarikat ADMIC, yang dididakwa bertujuan membangunkan Tun Razak Exchange (TRX) di Kuala Lumpur.

Pinjaman sebanyak AS$3 bilion dikumpulkan untuk tujuan yang diperkatakan itu dengan jejak wang yang berbelit-belit melalui BSI Singapura.

Larangan seumur hidup

Pihak pendakwa berhujah bahawa fasa ketiga berakhir antara 21 Mac 2013 dan 10 April 2013, dan pemindahan AS$681 juta ke akaun Najib antara 21 Mac dan 10 April 2013. Jumlah itu bersamaan RM2, 081,476,926 pada masa tersebut.

Perbicaraan dijalankan di hadapan hakim, Collin Lawrence Sequerah.

Pada 23 Okt 2020, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengenakan larangan seumur hidup ke atas Kevin berkaitan urusan 1MDB.

Menurut portal web rasmi MAS, Kevin dan pegawai bawahannya ketika itu, Yeo Jiawei, telah menyalurkan sebahagian daripada yuran pengurusan dana atau "keuntungan rahsia" - iaitu AS$5 juta - kepada entiti yang dimiliki oleh Kevin, tanpa pengetahuan dan kebenaran BSI. .

Pihak berkuasa Singapura berkata keuntungan rahsia itu adalah berkaitan dengan kedua-dua mereka yang telah membantu 1MDB untuk menyusun semula beberapa kepentingan usaha samanya.

MAS juga mendakwa antara lain Kevin "sengaja membuat salah nyata kepada juruaudit 1MDB, KPMG Malaysia, dalam usaha mempengaruhi secara tidak wajar hasil audit yang dijalankan oleh mereka ke atas pelaburan dana fidusiari 1MDB".

Jho beri tekanan kepada kakitangan bank: Bekas jurubank

Sementara itu dalam perbicaraan hari ini, Swampillai menjelaskan dia tidak terkejut apabila transaksi pelanggan berkaitan 1MDB tidak kekal dalam akaun mereka dalam tempoh yang lama.

Saksi itu merujuk kepada aliran masuk dana AS$2.7 bilion yang diperoleh 1MDB - melalui penawaran bon - ke dalam akaun anak syarikatnya 1MDB Global Investment Limited (1MDBGIL) pada 19 Mac 2013, dan aliran keluar dana melalui 13 peringkat keesokan harinya.

“Selalu yang ditunjukkan pelanggan tergesa-gesa untuk “melabur” wang dalam dana fidusiari secepat mungkin.

“Malah, beberapa kakitangan di bank BSI diberi tekanan hebat oleh pelanggan (khususnya tekanan yang dikenakan oleh Jho Low terhadap Yak yang seterusnya memberikan tekanan kepada jabatan-jabatan dalam bank berkenaan) untuk mempercepatkan proses supaya aliran wang daripada 1MDBGIL (dan akaun pelanggan berkaitan 1MDB lain) dipindahkan secepat mungkin daripada akaun bank BSI ke akaun dana fidusiari dan kemudian ke akaun syarikat sasaran.

"Dalam memberikan tekanan, kakitangan BSI yang berkaitan yang terlibat dalam aliran dana sentiasa diingatkan bahawa kami mengendalikan transaksi yang sangat sensitif dan terikat dengan masa yang melibatkan dana kekayaan negara milik kerajaan Malaysia dan pelanggan tidak akan bertolak ansur dengan sikap sambil lewa,” kata Swampillai kepada mahkamah.

Najib, yang juga bekas menteri kewangan, berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB.

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, tertuduh dididakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS