Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Mohammad Agus Yusoff membidas sikap ahli parlimen pembangkang yang mendakwa negeri-negeri Melayu seperti Kelantan dan Terengganu diketepikan dalam isu royalti petroleum.
Sedangkan menurutnya perkara itu tidak berbangkit ketika PN menjadi kerajaan dan ahli parlimen PAS sendiri, iaitu Takiyuddin Hassan menjadi menteri undang-undang.
“Waktu itu menteri undang-undang adalah Takiyuddin Hassan, namun Akta Wilayah Laut 2012 tidak dibawa ke Parlimen untuk dimansuhkan dan bayaran royalti kepada Kelantan dan Terengganu juga tidak dilaksanakan.
“Menariknya, kerajaan negeri tidak bising dan tidak juga menimbulkan soal mendiskriminasikan orang Melayu, kerana pada waktu itu mereka berada dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Dia mengulas dakwaan bahawa Melayu dipinggirkan dan pemimpin Melayu dalam kerajaan sekarang mengetepikan bangsa sendiri.
Antaranya Anggota Parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad Hashim yang menyatakan rasa kesal susulan Terengganu dan Kelantan - yang digelarnya sebagai ‘Malay Belt’ - diperkotak-katikkan dalam soal hasil petroleum.
"Sebagai rakyat Malaysia yang juga rakyat Terengganu, saya berasa kesal melihat Terengganu dan juga Kelantan yang merupakan negeri-negeri dikatakan ‘Malay Belt’ yang utama, secara jelas diperkotak-katikkan dalam soal hasil petroleum ini," katanya di Dewan Rakyat Isnin lalu.
Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari pada hari sama pula menggesa kerajaan negeri majoriti Melayu, dengan menyebut Kelantan dan Terengganu sebagai contoh.
Dia membangkitkan tinjauan oleh lima organisasi media yang mendakwa 71 peratus orang Melayu tidak berpuas hati dengan pencapaian Anwar Ibrahim selepas 100 hari menjadi perdana menteri.
Pada 24 Februari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dalam jawapan Parlimennya berkata Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima royalti tunai sebanyak lima peratus.
Dia membangkitkan Akta Laut Wilayah 2012 yang menetapkan negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika.
Katanya, Petronas tidak pernah menyalurkan hasil petroleum secara langsung kepada dua negeri itu memandangkan kedudukan medan pengeluaran terletak di luar tiga batu nautika, namun kerajaan persekutuan menyalurkan wang ehsan.
Dia menjawab soalan Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang bertanya sama ada kerajaan akan menyalurkan hasil minyak "secara terus" kepada kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu "seperti yang dilakukan oleh kerajaan PN".
Bayaran yang dirujuk oleh Muhyiddin itu ialah wang RM200 juta yang diberikan kepada kerajaan Kelantan masing-masing pada 2020 dan 2021.
Agus membangkitkan keputusan itu adalah sama ketika pentadbiran Ismail Sabri dan Muhyiddin Yassin.
'Hanya mahkamah boleh putuskan'
Menyoroti latar belakang isu royalti petroleum itu, Agus berkata isu royalti petroleum lima peratus untuk Terengganu dan Kelantan bukanlah perkara baru dan pertikaiannya berlarutan lama sehingga kerajaan Kelantan membawa kes itu ke mahkamah pada tahun 2010.
“Bagaimanapun pada tahun 2019 semasa pemerintahan kerajaan PH, kerajaan negeri menarik balik saman tersebut setelah kerajaan pusat membayar Kelantan RM400 juta dalam apa yang dikenali sebagai bayaran "sekali sahaja".
“Pada 25 November 2021, Menteri Kewangan (ketika itu) Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, menegaskan di Dewan Rakyat bahawa Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung kerana kedudukan medan pengeluaran Petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri masing-masing.
Bekas pensyarah sains politik itu berkata hanya mahkamah yang boleh mengesahkan kelayakan berhubung tuntutan royalti petroleum terbabit.
Justeru, dia berkata tidak wajar untuk pihak pembangkang mendakwa kerajaan menafikan hak orang Melayu.
“Selagi tindakan kerajaan perpaduan mengikut lunas undan-undang, maka ini bermakna kerajaan perpaduan tidak sesekali menganiaya orang Melayu Kelantan dan Terengganu.
“Nasihat saya kepada pembangkang, janganlah terus meniupkan sentimen perkauman untuk menentang sesuatu keputusan kerajaan yang mereka tidak bersetuju kerana ini boleh mengancam keharmonian hubungan kaum sesama kita,” katanya lagi.