Kerajaan tiada rancangan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), kata menteri pendidikan Fadhlina Sidek.
Katanya, pendirian itu dibuat berdasarkan dasar pendidikan negara dan peruntukan dalam Akta Pendidikan 1996.
“Untuk makluman ahli yang berhormat, sehingga kini Kementerian Pendidikan Malaysia tiada perancangan untuk mengiktiraf UEC yang dilaksanakan di sekolah menengah persendirian Cina (SMPC),” katanya.
Fadhlina berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, menjawab soalan Sabri Azit (Perikatan Nasional-Jerai).
PH dalam manifestonya lalu berjanji untuk meneruskan usaha mengiktiraf UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan syarat pemohon memiliki kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM.
Untuk tujuan itu, sijil itu akan dinilai agar setaraf dengan syarat am kelayakan sedia ada untuk kemasukan ke IPTA.
UEC di sekolah-sekolah pendirian Cina dianggap setara dengan A-level atau STPM.