Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syarikat konsesi PJD Link masih sediakan kertas kerja
Diterbitkan:  Mar 1, 2023 11:56 AM
Dikemaskini: 3:56 AM

PARLIMEN l Syarikat konsesi lebuh raya Petaling Jaya-Damansara Link (PJD Link) masih belum memulakan kerja fizikal dan sedang menyediakan kertas kerja untuk memenuhi syarat kontraknya.

Dewan Rakyat diberitahu bahawa antara kertas kerja yang perlu dilakukan ialah menyediakan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA), penilaian impak trafik (TIA) dan penilaian impak sosial.

Ini didedahkan oleh Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi dalam jawapan bertulis kepada Lee Chean Chung (Pakatan Harapan-Petaling Jaya), yang meminta maklumat terkini mengenai projek dan butiran perjanjian konsesi berkenaan.

Nanta Linggi berkata perjanjian konsesi - yang ditandatangani pada April 2022 - adalah dokumen sulit dan hanya boleh didedahkan kepada umum jika kedua-dua pihak bersetuju.

Jelasnya, lebuh raya itu dicadangkan sebagai alternatif kepada lebuh raya Damansara-Puchong sedia ada, yang telah pun mencapai kapasitinya.

PJD Link ialah versi penjenamaan semula projek Lebuhraya Kinrara–Damansara (Kidex) yang mula beroperasi pada 2010.

Ia adalah lebuh raya bertol dua lorong, sepanjang 34.3km, menghubungkan plaza tol NKVE di sepanjang Lebuhraya Sprint ke Persimpangan Lebuhraya Bukit Jalil.

Mereka yang membantah Kidex mendakwa bahawa projek itu akan membabitkan kawasan kejiranan sedia ada. Ia akhirnya dibatalkan oleh menteri besar Azmin Ali pada 2015.

Projek itu kemudiannya muncul semula pada tahun 2020 sebagai PJD Link. Julai lalu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata pemaju telah memperbetulkan semua kelemahan Kidex dan mereka akan mengambil kira maklum balas awam selanjutnya mengenai lebuh raya  PJD baharu tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS