Presiden PAS Abdul Hadi Awang menjangkakan bahawa kerajaan hari ini yang diterajui oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim akan tumbang tidak lama lagi.
Berucap pada sesi Dialog Ulama Negarawan: Mendepani Cabaran Globalisasi Media Masa Kini anjuran Yayasan Permata Ummah di Kuala Lumpur semalam, dia bagaimanapun tidak menyebut berdasarkan apa jangkaannya itu dibuat .
"Orang tanya bila berlaku ini. Ini ramalan.
"Insya-Allah, (akan berlaku) dalam masa terdekat," katanya.
Ahli Parlimen Marang itu juga tidak menyebut jika Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai partinya bersama sekutu utamanya, Bersatu sedang mengaturkan sesuatu.
Semalam, Hadi ketika berucap di Dewan Rakyat berkata bahawa pembangkang tidak boleh dipersalahkan sekiranya pentadbiran PH runtuh sekali lagi.
"Kalau jatuh lagi, jangan salahkan kami. Bukan tebuk atap, tetapi atapnya bocor, pintunya terbuka dan dindingnya pecah," katanya merujuk pentadbiran PH yang ditumbangkan melalui Langkah Sheraton pada 2020.
Untuk rekod, Hadi sebelum ini pernah berkata dirinya adalah individu yang memulakan langkah untuk menumbangkan kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohammad ketika itu selepas 22 bulan memerintah negara.
Jelasnya, ini sebagai tindak balas terhadap usaha pentadbiran PH mengiktiraf Mahkamah Jenayah Antarabangsa dengan memeterai Statut Rom dan cubaan menandatangani konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai anti penindasan kaum (Icerd).
Diminta mengulas tentang penubuhan Majlis Ulama Umno (MUU), Hadi berkata bahawa partinya perlu tunggu dan lihat terlebih dahulu sebelum membuat sebarang ulasan.
"MUU baru sahaja ditubuhkan. Baru tunjuk rangka. Dia buat apa pun kita tak tahu.
"Kita tengok dulu. Tunggu dan lihat. Tak boleh komen sekarang. Dia belum buat kertas lagi," katanya.
Mesyuarat pertama MUU diadakan di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, semalam.
Mesyuarat selama dua jam itu dipengerusikan Dusuki Ahmad selaku pengerusinya dengan dibantu oleh bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Dr Khairuddin Aman Razali.
Mengulas lanjut, Hadi berkata bahawa PAS adalah kumpulan Islam yang terbuka dan sentiasa memperjuangkan penyatuan ummah.
"Kita pernah ajak ulama-ulama Umno bermuzakarah buka al-Quran dan hadis. Tapi, dulu kita ajak muzakarah mereka tidak mahu.
"Yang sekarang ini tidak tahu kalau mereka nak datang muzakarah.
"Kita bersedia, buka al-Quran, pada yang asal kita ini untuk menyatukan ummah. Ini sangat penting," katanya.