Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rundingan pendekatan terbaik tamat konflik Selatan Thai - Ketua fasilitator

Rundingan merupakan pendekatan terbaik untuk mencari penyelesaian bagi menamatkan konflik dan mewujudkan keamanan berkekalan di selatan Thailand, kata Ketua Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi Proses Dialog Damai di wilayah itu Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Beliau berkata melalui meja rundingan ia bukan sahaja dapat mewujudkan persekitaran kondusif, aman, serta selamat dan makmur untuk dinikmati penduduk tempatan malah ia juga akan membina komitmen, kepercayaan, dan keikhlasan antara yang pihak berunding untuk menyelesaikan konflik di selatan Thailand.

“Konflik tidak akan dapat diselesaikan melalui keganasan. Menang jadi arang, kalah jadi abu. Keganasan tidak membawa untung kepada mana-mana pihak pun. Malahan ia memberi natijah yang amat teruk, dan pastinya berisiko untuk meruntuhkan hampir keseluruhan sistem masyarakat di wilayah konflik.

“Saya dengan ikhlas ingin mengajak semua pihak untuk sama-sama turut serta dalam musyawarah melalui meja rundingan.

“Sama-sama meleraikan tembok pertembungan, mengharmonikan titik pertemuan, membina kepercayaan, memberi pencerahan sehingga ke peringkat akar umbi, dan akhirnya membawa kepada resolusi penamatan konflik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Pendamaian Pattani ke-4 di Prince of Songkhla University Kampus Pattani hari ini.

Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia itu yang berada dalam rangka lawatan kerja empat hari ke selatan Thailand berkata lawatannya adalah untuk mendengar, membina pemahaman, menawarkan pandangan dan memudah cara rundingan untuk menyelesaikan konflik.

Ini merupakan lawatan kerja pertama Zulkifli selepas dilantik berkuatkuasa 1 Januari 2023 sebagai fasilitator baru Malaysia untuk proses dialog damai di selatan Thailand. Beliau menggantikan Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor.

Proses Dialog Damai Selatan Thailand di antara Kerajaan Thailand dengan kumpulan pejuang kini memasuki tahun ke-10. Proses itu bermula apabila Yingluck Shinawatra, Perdana Menteri Thailand pada ketika meminta Malaysia menjadi orang tengah dalam menyelesaikan konflik di Selatan Thailand. Berikutan itu, satu Konsensus Am (General Consensus) di antara Kerajaan Thailand dengan Barisan Revolusi Basional (BRN) termeterai pada 28 Februari 2013.

Sementara itu, Zulkifli berkata Malaysia sentiasa komited dalam memudah cara kerajaan Thailand dan masyarakat Patani di wilayah sempadan selatan Thailand untuk menyelesaikan konflik secara adil, komprehensif dan berkekalan.

“Saya akan meneruskan kesinambungan perancangan gerak kerja yang telah diusahakan oleh Kerajaan Malaysia selama ini, dalam membantu menyelesaikan konflik di selatan Thailand.

“Saya optimis dan yakin bahawa pendekatan secara persetujuan kolektif dalam menyelesaikan apa jua isu berbangkit dan ia akan menjadi amalan semua pihak berkepentingan yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata Pelan Komprehensif Kerjasama ke Arah Pendamaian (JCPP) sebagai pelan hala tuju untuk 2023-2024 yang dipersetujui baru-baru ini dalam Mesyuarat Rasmi ke-6 Proses Dialog Damai di Kuala Lumpur telah membawa sinar harapan untuk pendamaian bagi komuniti Patani di Wilayah Selatan Thailand.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS