Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sekarang bukan masa sesuai perkenal semula GST - MOF
Diterbitkan:  Feb 28, 2023 8:36 PM
Dikemaskini: 12:36 PM

PARLIMEN | Kerajaan tidak menafikan potensi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebagai salah satu instrumen fiskal yang boleh memastikan kelestarian dan kemampanan kedudukan ekonomi negara pada masa depan.

Kementerian Kewangan (MOF), bagaimanapun, berkata untuk memperkenalkan semula GST ketika ini adalah tidak sesuai kerana cabaran ekonomi yang dijangka dihadapi pada tahun ini iaitu kadar inflasi makanan yang agak tinggi dan kadar pertumbuhan ekonomi yang sederhana.

“Kerajaan belum bercadang untuk memperkenalkan semula GST. Sebarang perubahan dasar berkaitan cukai perlu mengambil kira kesan terhadap ekonomi dan kos sara hidup rakyat.

“Sehubungan itu, kerajaan sentiasa mengawasi kedudukan ekonomi semasa dan mempertimbangkan langkah-langkah fiskal yang bersesuaian dengan keperluan jangka pendek dan sederhana,” menurut kementerian itu dalam jawapan lisan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Ia menjawab soalan Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS-Serian) yang ingin tahu sama ada GST akan diperkenalkan semula atau tidak.

Berhubung inisiatif cukai yang akan diambil dalam masa terdekat, katanya kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2023 telah mengumumkan cadangan pengenaan cukai ke atas barangan mewah serta peluasan duti eksais ke atas produk berkaitan rokok elektronik dan vape pada tahun ini.

Di samping itu, katanya kerajaan akan mengkaji kesesuaian pengenalan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham syarikat yang tidak tersenarai di Bursa Malaysia mulai tahun 2024.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS