Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Maseri berdepan pertuduhan sebar ajaran salah
Diterbitkan:  Feb 28, 2023 8:23 PM
Dikemaskini: 12:23 PM

Pengasas Kumpulan Zikir Asmaul Husna yang dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di Seremban hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebarkan ajaran salah kepada sekumpulan orang Islam.

Wan Maseri Wan Mohd, 59, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Nuri Balai Panjang, Johol, Kuala Pilah pada 9.45 pagi semalam mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Wanita itu didakwa menyebarkan ajaran salah kepada sekumpulan orang Islam dengan menyatakan antara lain bahawa dia adalah jurutaip Allah, roh manusia adalah daripada zat Allah dan segala tindakan adalah berdasarkan arahan terus daripada Allah.

Hakim Syarie Ruzita Ramli membenarkan Wan Maseri diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin penjawat awam dan menetapkan 4 April sebagai tarikh sebutan.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pendakwa Syarie Rohaizad Redzuan memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin penjawat awam kerana ajaran yang dibawa tertuduh telah tersebar luas melalui media sosial.

Beliau juga berkata pihaknya akan membawa saksi pada prosiding perbicaraan yang bakal ditetapkan mahkamah memandangkan Wan Maseri tidak berhasrat melantik peguam.

Sementara itu, di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah, Wan Maseri dihukum penjara setahun dan denda RM3,000 selepas mengaku mengajar tanpa tauliah daripada Jawatankuasa Tauliah di bawah Seksyen 118 (3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003.

Hakim Syarie Sabarudin Bidin memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap semalam selain tempoh tambahan selama enam bulan jika gagal membayar denda.

Bagi kesalahan ini, wanita itu didakwa mengikut Seksyen 53 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 Pindaan 2019.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS