Paling Popular
Terkini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said menggesa supaya ahli-ahli parlimen daripada kerajaan mahupun pembangkang bersatu dalam isu kedaulatan negara yang melibatkan tuntutan pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu.

“Kita ni sebagai sebuah negara berdaulat, mesti nampak kita bersama, bersuara daripada sekarang sampailah Jun for the French award (untuk keputusan mahkamah Perancis).

“Kita tunjukkan kepada orang di luar sana jangan memperkotak-katikkan kita, rakyat Malaysia hanya kerana kita ini merupakan negara Asia.

“Jadi kalau kamu orang putih, bermata biru, berambut perang, siapa kamu nak jajah kami di timbang tara komersial. Kita akan lawan kamu,” katanya.

Dia berkata demikian ketika sesi taklimat mengenai isu tuntutan pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu bersama ahli-ahli Dewan Rakyat di bangunan parlimen hari ini .

Untuk rekod, kumpulan yang mendakwa sebagai pewaris kesultanan Sulu telah memohon timbang tara antarabangsa untuk mendapatkan AS$14.92 bilion daripada Putrajaya sebagai tindak balas kepada Malaysia memotong pembayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 untuk Sabah kepada kesultanan Sulu pada 2013.

Mahkamah timbang tara Perancis telah memihak kepada kumpulan Sulu tahun lalu - yang membenarkan kumpulan itu merampas aset Petronas yang didaftarkan di Luxembourg.

Malaysia sejak itu mendapat penangguhan perintah timbang tara oleh Mahkamah Rayuan Paris, tetapi keputusan itu masih boleh dikuatkuasakan di negara-negara yang menandatangani perjanjian timbang tara PBB.

Rampasan di Luxembourg juga telah ditangguhkan pada Januari, tetapi mahkamah di sana mengeluarkan perintah rampasan baru dua minggu lalu.

Mengulas lanjut, Azalina berkata ahli-ahli parlimen sewajarnya membangkitkan isu itu ketika membahaskannya di Dewan Rakyat.

“Jadi, sebenci manapun anda terhadap kerajaan, atau sebaliknya kita kena bersatu dalam isu ini apabila kamu berbahas (dalam Dewan) dan persoalkan mengapa perlu bidang kuasa asing masuk campur dan menggunakan timbang tara komersial antarabangsa?

“Siapa pembiaya litigasi ini? Siapakah mereka? Mereka ini terdiri daripada siapa? Dan mengapa mereka melakukan ini? … kerana mereka tahu mereka boleh buat duit,” katanya.

Terdahulu dalam taklimat tersebut, Azlina memberi amaran bahawa kumpulan yang mendakwa waris kesultanan Sulu itu akan menggunakan pelbagai cara demi menuntut aset negara.

“Mereka ini guna ‘forum shopping’ sebab mereka rasa aset Malaysia mereka boleh kacau. Saya bagi contoh sahaja bukan ada kes, macam-macam (aset) boleh jadi sasaran,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat itu.

Bagaimanapun, dia menegaskan tuntutan yang dibuat oleh kumpulan tersebut terhadap aset-aset Malaysia tidak mempunyai asas perundangan yang kukuh.

Pada masa sama, ahli Parlimen Pengerang itu memaklumkan bahawa dia akan berlepas ke Sabah esok untuk bertemu dengan Ketua Menteri Hajiji Noor membincangkan perkara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS