Kesesakan di hospital dan klinik kerajaan mungkin timbul disebabkan mutu perkhidmatan semakin baik, kata Timbalan Perdana Menteri, Fadilah Yusof.
Fadilah menjelaskan keadaan itu masih berlaku walaupun banyak usaha dilakukan kerajaan dengan membina dan menaik taraf hospital, klinik kesihatan dan klinik desa.
Malah katanya, sistem kesihatan secara keseluruhan yang bertambah baik, melibatkan pegawai-pegawai kerajaan dan kementerian yang terlibat, meningkatkan keyakinan rakyat untuk menerima rawatan di hospital kerajaan.
“Jadi pokok pangkalnya, kenapa hospital semakin sesak, mungkin sebab mutu perkhidmatan kita semakin baik," katanya ketika sesi waktu pertanyaan kepada menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun Fadilah berkata ia sekali gus memberi gambaran rakyat Malaysia tidak mengamalkan gaya hidup sihat.
“Mungkin ia memberi gambaran bahawa adakah kita di Malaysia ini tak amalkan budaya hidup yang sihat, sebab tu lebih ramai yang terpaksa rujuk ke doktor, demam sakit,” katanya.
Pada masa sama, Fadilah turut meminta ahli-ahli parlimen memainkan peranan untuk menjalankan program bersama dengan Kementerian Kesihatan dan pegawai perubatan untuk memberi kesedaran amalan hidup sihat di kalangan rakyat.
“… supaya kita tak payah pergi ke hospital, hanya (pergi untuk) sakit kritikal, dan hospital takkan terbeban dengan kita mengendalikan terlalu banyak kes-kes kesihatan yang akan merugikan negara dari segi kedudukan kewangan dan merugikan rakyat kita sendiri juga.
"Jadi itu yang patut jadi tumpuan kita semua,” katanya.
Dia berkata demikian ketika menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) yang meminta Kementerian menyatakan apakah kesesakan di hospital kerajaan pada ketika ini semakin membimbangkan di mana rakyat tidak mendapat perkhidmatan perubatan dan kesihatan bersesuaian, di samping perlu menunggu lama.
Ling turut bertanya apakah langkah-langkah kerajaan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan negara.
Mengulas lanjut Fadilah berkata perkhidmatan yang hampir percuma atau kadar bayaran jauh lebih murah jika dibandingkan dengan hospital swasta turut menjadi punca kesesakan di hospital kerajaan.
“Sebab itulah di hospital kerajaan dah bertambah jumlah doktor, jururawat dah bertambah tapi berdepan dengan kesesakan.
"Sebab tu kerajaan tubuhkan Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipengerusikan Tan Sri Ketua Setiausaha Negara (Mohd Zuki Ali) dan dianggotai pelbagai agensi kementerian, di mana mereka berbincang apakah penambahbaikan yang boleh dijalankan.
Katanya, penambahbaikan itu boleh dilakukan dengan kerjasama sektor swasta agar pesakit yang tidak menghadapi penyakit kritikal boleh mendapatkan rawatan di klinik swasta.
"Begitu juga yang datang khususnya waktu odd hours 6-12 malam boleh datang ke klinik daerah berdekatan yang dilanjutkan ke 12 malam,” katanya.