Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Annuar sedia sertai parti baru
Diterbitkan:  Feb 27, 2023 10:05 PM
Dikemaskini: 2:05 PM

Tiga bulan selepas dipecat daripada Umno, bekas Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa berkata sudah tiba masanya untuk dia mempertimbangkan menyertai parti politik baru.

Annuar berkata dia telah meluangkan masa sejak dipecat untuk bermuhasabah dan memerhatikan arus dan pola politik negara.

"Tiba masanya kini untuk saya memikirkan secara serius untuk kembali semula meneruskan perjuangan politik secara berparti, dengan memilih parti yang sesuai dengan jiwa perjuangan saya, dan parti yang benar-benar berjuang menegakkan syiar agama serta membela bangsa dan negara.

"Semoga ada parti yang sudi menerima saya untuk berkhidmat sebagai ahli biasa mereka," katanya dalam catatan Facebook hari ini.

Annuar adalah salah seorang yang dipecat Umno pada Disember tahun lepas susulan pilihan raya umum ke-15.

Dia tidak merayu pemecatannya.

Sejak dipecat, Annuar mengasaskan sebuah NGO bernama ‘Muafakat Nasional’, yang menurutnya bertujuan untuk menganjurkan aktiviti mempromosikan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, katanya, kumpulan itu juga bertujuan untuk menjaga kedudukan raja-raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera, menjaga kepentingan etnik lain, bahasa Melayu, dan kepentingan masyarakat majmuk.

Annuar sebelum ini mendakwa telah dihampiri oleh PAS selepas dipecat, namun berkata pada masa itu bahawa masanya terlalu cepat selepas "bercerai" dengan Umno.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS