Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim hari ini berkata dia akan bertemu dengan Menteri Pengajian Tinggi (KPT) Khaled Nordin bagi membincangkan gesaan agar kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku).

“Sedang atur pertemuan bersama menteri KPT untuk membawa pandangan termasuk memorandum yang telah diserahkan oleh kumpulan pelajar sebentar tadi," katanya kepada Malaysiakini.

"Pandangan peribadi saya tentang Auku konsisten, namun sebagai salah seorang anggota pentadbiran, kita bertanggunjawab secara kolektif atas dasar-dasar kerajaan.

"Saya yakin, KPT memahami dinamik semasa dan ruang terbuka untuk pandangan-pandangan ini didengari dan diteliti. Kita masih di peringkat awal pentadbiran, ruang untuk meneliti dasar tersebut masih terbuka," kata ketua Pemuda PKR itu yang satu ketika dikenali sebagai aktivis pelajar.

Sementara itu, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata dia sebelum itu hadir di luar parlimen bersama beberapa ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) lain dan menerima memorandum daripada kumpulan pelajar yang diketuai Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany).

Ahli Parlimen Muar itu mengulangi sokongannya terhadap gesaan pelajar mengenai pemansuhan Auku, sekali lagi dengan peringatan kepada kerajaan tentang bagaimana undang-undang itu telah digunakan untuk menyekat kebebasan bersuara di universiti.

Minggu lalu, Khaled berkata janji PRU15 oleh PH untuk memansuhkan Auku tidak akan ditunaikan, kerana undang-undang itu masih relevan terutama dalam pentadbiran universiti.

Dia memberitahu Dewan Rakyat bahawa proses pemansuhan undang-undang itu memerlukan kajian lanjut kerana ia akan melibatkan undang-undang lain seperti Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, Akta Pendidikan 1996, dan Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib Dan Surcaj) 2000, antara lain.

Bagaimanapun, Khaled juga berkata bahawa kerajaan terbuka untuk menambah baik Auku dan sentiasa melibatkan pihak berkepentingan.

Pada masa ini, Auku memberikan kuasa kepada menteri yang bertanggungjawab untuk memutuskan pelantikan utama untuk universiti seperti jawatan naib canselor.

Pengkritik mendakwa undang-undang ini menjejaskan autonomi universiti kerana ia membenarkan menteri melantik naib canselor tanpa pertimbangan merit.

Sebelum ini, ketika pentadbiran kerajaan PH (2018-2020) di bawah Dr Mahathir Mohamad, kerajaan mempunyai rancangan untuk memansuhkan Auku dan menggantikannya dengan undang-undang baru menjelang 2020.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS