Paling Popular
Terkini

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng menyarankan agar bantuan RM600 di bawah Belanjawan 2023 untuk petugas masjid turut diperluas kepada surau.

Kata Lim yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang ketika sesi perbahasan Belanjawan 2023, cadangan tersebut dibuat berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pengundinya berikutan belanjawan yang dibentangkan Jumaat lalu.

“Saya melawat surau, berbincang dengan imam, tok siak surau dan lain-lain, jadi saya ingin bertanya sama ada insentif RM600 itu turut diberikan kepada masjid sahaja atau surau juga?

"Saya ingin mencadangkan agar ia juga diberikan kepada surau, supaya ia dapat dikongsi dalam kalangan sukarelawan mereka," katanya sambil berkata bahawa kemenangannya dalam pilihan raya umum lalu disebabkan hubungan baiknya dengan umat Islam di kawasannya selain pengundi kawasan terbabit.

"Sebab itu saya menang dalam saluran satu hingga lima, dan hanya kalah di saluran enam dan tujuh," kata Lim yang mengaitkan kehilangan sokongan daripada pengundi muda sebagai "pembohongan" di media sosial.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023, Jumaat lalu, kerajaan memperuntukkan bayaran khas sebanyak RM600 kepada imam, bilal, tok siak, noja, marbut, guru Kafa dan guru takmir.

Perdana Menteri yang juga menteri kewangan, Anwar Ibrahim memberitahu, bantuan tersebut memberi manfaat kepada seramai 70,000 orang dengan melibatkan peruntukan lebih RM40 juta.

Sementata itu, mengulas isu peruntukan sama rata untuk semua ahli parlimen, Lim berkata keputusan muktamad terletak pada kewangan kerajaan.

“Pada akhirnya ia bergantung pada kemampuan kewangan kerajaan.

"Kita luluskan dulu untuk ahli Parlimen kerajaan, dan kalau ahli Parlimen kerajaan pun tak cukup, macam mana nak beri (peruntukan kepada pembangkang?" soal Lim ketika menjawab pertanyaan Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo).

Lim bagaimanapun berkata dia yakin bahawa PH akan menunaikan janji manifesto pilihan raya mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, kata Lim pada masa ini kerajaan memerlukan lebih masa untuk berbuat demikian.

"Saya pasti rakyat akan faham. Asalkan kita tunaikan sebelum akhir penggal kita," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS