Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kembali ke pangkuan Umno, Zaid meniti polemik kaum dan agama

Lebih sedekad selepas dipecat, Zaid Ibrahim kembali ke pangkuan Umno dengan harapan untuk meluaskan pemikiran generasi akan datang bagi membaiki negara, yang menurutnya ketika ini 'bukan Malaysia yang diharapkan oleh pengasas negara.'

Bekas menteri undang-undang berusia 71 tahun itu, yang pernah menyertai parti lain dan juga mengasaskan parti sendiri, mengakui sudah terlambat baginya untuk meraih kuasa.

Walaupun bercadang untuk bertanding kerusi dalam Majlis Tertinggi Umno, Zaid mendakwa tindakannya itu bukan didorong oleh "matlamat politik yang tinggi" atau "cita-cita menjadi orang penting dalam kerajaan."

“Sudah terlambat (untuk meraih kuasa atau menjadi orang penting dalam kerajaan).

“Saya menyertai semula Umno untuk mempunyai beberapa rakan muda bagi berbincang dan bertukar-tukar pandangan mengenai banyak perkara yang menjejaskan Malaysia.

“Dari segi ekonomi, kita tidak bergerak, tidak seperti jiran kita yang bermula jauh lebih miskin daripada kita pada 1957. Kerajaan kita tidak begitu meyakinkan pelabur asing. Kita mempunyai hutang negara sebanyak RM1.5 trilion dan tidak banyak tanda-tanda pemulihan ekonomi.

“Kita terpaksa mempromosi ‘menu Rahmah’, hidangan RM5, dan terpaksa membeli telur dari India dan sayur-sayuran dari China. Wacana umum kita adalah mengenai wanita yang tidak dibenarkan memakai seluar pendek atau jika kita boleh menyambut Thaipusam dan Hari Valentine. Menghadiri konsert adalah sesuatu yang sering dikecam.

“Negara memberi keutamaan dan penekanan kepada agama setiap hari tetapi tidak mampu menangani rasuah, salah guna kuasa atau menawarkan kebaikan kepada warga asing dan anjing terbiar. Kita memakai lencana 'Madani' tanpa memperbaharui institusi. Kita adalah negara yang penuh kontradiksi,” tambahnya.

Ikut merit, bukan kaum

Bagi pemimpin muda Umno yang masih mempunyai "tenaga dan semangat untuk bertahan", Zaid menggariskan beberapa cadangan, salah satunya mengenai subjek "keistimewaan" untuk orang Melayu.

“Untuk memastikan orang Melayu berjaya dengan cara yang betul, berpendidikan tinggi dan setanding dengan warga dunia, kita perlu meninggalkan idea palsu bahawa ‘keistimewaan’ tanpa semak dan imbang akan menjamin kemajuan kita.

“Kita harus meninggalkan tanggapan bahawa hanya orang Melayu dalam perkhidmatan awam akan menjaga masa depan kita. Umno mesti sanggup melihat nilai kompromi, bekerjasama, dan memanfaatkan kekuatan orang bukan Melayu,” tambahnya.

Zaid menegaskan bahawa jika tidak digunakan dengan cara yang betul, "keistimewaan" akan membawa kepada diskriminasi dan ini adalah antitesis kepada kemajuan.

“Mula-mula, kita memberitahu diri kita bahawa kita perlu mendiskriminasi orang bukan Melayu dan bukan Islam untuk menjaga kepentingan kita atau untuk membetulkan kesilapan sejarah. Apabila kita berbuat demikian, kita kemudian mendiskriminasi orang Melayu dan Islam lain yang kita anggap sebagai lawan kita.

“Kita tidak boleh memajukan negara ini berdasarkan premis palsu. Anda mungkin mengatakan bahawa orang bukan Melayu dalam sektor swasta juga melakukan diskriminasi, tetapi mereka tidak berada dalam kerajaan. Kita, orang Melayu, mesti menetapkan dasar dan keutamaan negara, dan diskriminasi tanpa asas mesti ditolak.

“Kita perlu bermula di sektor awam dan kemudian perlahan-lahan menggubal undang-undang supaya sektor swasta juga boleh mengikutinya. Kemudian kita boleh maju. Dalam persekitaran yang lebih saksama, kita mungkin dapat memikat minda yang lebih bijak dan cerah dari luar negara untuk pulang ke tanah air,” tambahnya.

Perpaduan Melayu-Islam

Menurut bekas menteri itu, perpaduan Melayu-Islam bukanlah penawar untuk isu-isu yang mendesak, dengan menyatakan bahawa "jika ia begitu mudah, maka Yaman, Afghanistan, dan Pakistan akan menjadi negara maju ketika ini."

“Sekiranya orang Melayu dan orang Islam boleh diharap untuk menjaga kepentingan Melayu Islam, maka pembaziran dalam perkhidmatan awam dan universiti awam akan menjadi perkara yang tidak berulang. Namun setiap tahun, laporan ketua juruaudit negara menunjukkan pembaziran yang besar,” tambahnya.

Menegaskan bahawa meritokrasi tidak boleh dikompromi, Zaid berkata tiada negara boleh maju jika ia bertolak ansur dengan sikap yang tidak berkualiti.

Zaid juga mengkritik ahli politik Melayu yang mengelak daripada menolak dasar atau undang-undang progresif kerana takut mendapat kecaman.

“Sekiranya anda tergolong dalam kategori ini dan mudah diperas ugut oleh kumpulan pelampau, maka saya cadangkan anda meninggalkan politik dan terlibat dalam aktiviti yang lebih menenangkan.

“Saya tahu orang Melayu mahukan lebih banyak kelas agama, dan negara ini dijalankan mengikut undang-undang dan prinsip agama. Malangnya, pemimpin agama yang kita ada, walaupun kerap membuat kenyataan tentang banyak isu yang meluas, tidak akan dapat menyelesaikan cabaran pendidikan, ekonomi, sosial dan lain-lain.

“Anda perlu mencari cara menjadikan negara ini 'Switzerland' dari penguat kuasa agama 'Iran' yang mengendalikan kerajaan. Saya tidak fikir itu boleh dilakukan dan saya tidak tahu sama ada 'Madani' adalah jawapannya. Tetapi itulah cabarannya,” tambahnya.

Sambil menggariskan kepentingan toleransi dan beradab, Zaid kesal kerana perkara berkaitan hak Melayu-Islam atau raja-raja tidak boleh dibincangkan tanpa mendapat akibat, yang seterusnya menghalang kemajuan.

“Laporan polis akan dibuat. Undang-undang mengenai hasutan masih tidak dimansuhkan. Jika kita menghentikan sebarang wacana mengenai isu-isu penting, bagaimana kita boleh maju?

“Anda fikir jika kita menutup hak keistimewaan Melayu dan isu Islam lain daripada perbincangan, kita boleh mengelak masalah itu?

“Tahukah anda mengapa pergaduhan di kalangan orang Melayu dan Islam begitu kronik? Mengapa Umno diharamkan dan diisytiharkan haram pada 1987? Kenapa pada 1998, timbalan presiden didakwa atas tuduhan liwat dan dibuang kerja, atau tahukah anda kenapa beberapa pemimpin tertinggi Umno sekarang tidak dibenarkan bertanding jawatan tertinggi?

"Mengapakah perpecahan antara PAS dan Umno begitu sukar dan tidak dapat didamaikan? Jawapannya ialah kita telah meninggalkan cara hidup yang betul sebagai masyarakat. Kita (rakyat Malaysia) mempunyai banyak agama tetapi bukan nilai yang betul.

“Bersikap adil adalah langkah pertama, dan ini bermakna anda melakukan apa yang anda mahu orang lain lakukan kepada anda. Kita mesti adil, bertolak ansur, dan beradab dengan pihak lawan. Apabila berurusan dengan orang bukan Melayu, kita tidak boleh mendekati isu itu seolah-olah mereka merampas hak kita. Apabila berurusan dengan PAS dan Bersatu, kita mesti menunjukkan rasa hormat kerana mereka mewakili pembangkang yang setia dalam sistem kerajaan kita.

“Saya harap kumpulan pemimpin yang lebih muda akan muncul. Jangan bercakap tentang perubahan dan pembaharuan melainkan anda bersedia mencuba pendekatan yang tidak digunakan sebelum ini.

“Jangan bercakap tentang keharmonian kaum dan negara yang bersatu-padu melainkan anda sanggup meruntuhkan tembok diskriminasi dan ketidakpercayaan.

“Akhirnya, satu-satunya cara orang Melayu dapat bertahan dan kuat ialah dengan memberikan mereka pendidikan terbaik yang boleh kita kumpulkan dan menghilangkan rasa takut bahawa orang lain akan menjatuhkan mereka. Mereka mesti mempunyai kepercayaan pada diri mereka sendiri,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS