Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BN hantar surat tuntutan kepada Muhyiddin, Azmin
Diterbitkan:  Feb 27, 2023 3:28 PM
Dikemaskini: 8:10 AM

BN telah menghantar surat tuntutan kepada pemimpin Bersatu, iaitu presiden Muhyiddin Yassin dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Mohamed Azmin Ali.

Surat itu berhubung kenyataan mereka yang mendakwa Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menjadi dalang di sebalik pertuduhan rasuah ke atas bekas ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan.

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Komunikasi BN Shamsul Anuar Nasarah berkata surat itu bagi menuntut Muhyiddin dan Azmin membuat permohonan maaf terbuka, menarik balik kenyataan dan membayar pampasan atas dakwaan yang dibuat.

"Melalui siri tuduhan ini, jelas kelihatan kedua-dua individu utama dalam parti PN ini mencipta pelbagai alasan untuk menyembunyikan masalah korup dan rasuah yang ada di dalam PN.

"Tindakan menuding jari dilihat seperti langkah yang biasa mereka untuk menutup kelemahan dan menjadikan diri mereka sebagai mangsa pendakwaan politik sedangkan rakyat kini melihat yang dituduh adalah dari kepimpinan parti mereka sendiri," dakwanya.

Pada 21 Februari lalu, Wan Saiful yang juga ahli parlimen Tasek Gelugor atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah melibatkan wang berjumlah RM6.9 juta.

Ketika mengiringi Wan Saiful di Mahkamah Kuala Lumpur, Muhyiddin mengaitkan pendakwaan tersebut dengan kenyataan yang dibuat Zahid sebelum itu.

“...Dia (Zahid) kata sekarang ini dia tuduh kami kluster mahkamah dan selepas ini akan adalah satu kluster baru, mahkamah juga.

“Jadi, apa yang berlaku adalah satu perkara yang saya fikir sebagai presiden Bersatu yang dirancang dan terancang,” katanya ketika itu.

Pada hari sama, Azmin juga membangkitkan perkara itu dengan berkata: “Kita yakin ini merupakan pertuduhan terpilih dan presiden parti (Muhyiddin Yassin) hari ini menyatakan kalau saudara saudari sedia maklum, kenyataan yang dibuat oleh presiden Umno (Ahmad Zahid Hamidi) sebelum ini membuktikan sudah ada perancangan."

Shamsul Anuar menyifatkan dakwaan itu sebagai "tuduhan yang sangat melampau" dan "fitnah liar".

"Tuduhan ini adalah satu fitnah yang melulu, besar dan disengajakan untuk menutup kerosakan yang kini berlaku dalam PN sendiri," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS