Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hamzah: Belanjawan 2023 seperti ‘selimut senteng’, serba kekurangan

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin menyifatkan Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu ibarat “selimut senteng” yang serba kekurangan dengan keadaan ekonomi semasa negara.

Dalam ucapan perbahasan belanjawan dengan topik Wawasan Kemakmuran Bersama di Dewan Rakyat hari ini, dia menyentuh beberapa isu seperti kos sara hidup rakyat, membasmi miskin tegar, pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar, peruntukan dana kepada ahli parlimen dan mempersoalkan strategi kerajaan untuk mengotakan janji dalam pembentangan belanjawan tersebut.

“Apabila saya mendengar YAB Tambun (Anwar), saya agak simpati juga kerana dalam keadaan ekonomi negara kita ini yang agak runsing pada hari ini, begitu juga dengan ekonomi dunia.

“Mungkin ini menyebabkan ucapan Tambun pada ketika itu saya anggapkan seperti bajet ‘selimut senteng’ yang kalau kita tutup muka, betis terselak, kalau kita tutup kaki, muka kita terdedah.

“Ertinya, banyak dalam belanjawan tu kurang dalam menentukan masa depan kita kerana sepatutnya belanjawan ini sesuatu yang boleh melonjakkan pertumbuhan dalam ekonomi negara,” katanya.

Hamzah turut menyentuh iltizam Anwar untuk menoktahkan isu miskin tegar pada tahun ini, dengan mempersoalkan strategi tersebut memandangkan objektif itu pelru dicapai dalam masa yang berbaki sembilan bulan.

“Apabila YB Tambun menjelaskan tentang untuk menoktahkan kemiskinan dakam tahun ini juga, saya ucapkan syabas dan tahniah. Kita berikan tepukan.

“Ini menunjukkan beliau betul-betul simpati kemiskinan tegar...tapi biarlah kita boleh capai sebab kita hanya tinggal lebih kurang sembilan bulan... saya rasa tukar sikit ayat, bukan 'noktahkan' tapi kurangkan kemiskinan sifar sebab tak ada strategi,” katanya.

Perbahasan Hamzah selama 90 minit turut menyaksikan celahan daripada pihak pembangkang dan juga kerajaan, sehingga menimbulkan sedikit kekecohan di dalam Dewan.

Kekecohan itu timbul apabila Howard Lee (PH-Ipoh Timur) bangun untuk mencelah perbahasan Hamzah, namun ia tidak diendahkan sehingga membuatkan beberapa ahli Parlimen PN tidak berpuas hati terhadap Lee yang berdegil untuk mendapat izin mencelah.

Insiden itu mendorong kepada Shahidan Kassim (PN-Arau) bangun dan mendakwa Lee hanya berhasrat untuk mengganggu perbahasan Hamzah. Lee turut mempersoalkan sama ada Shahidan boleh membaca perkara di dalam “kepala otaknya”.

Shahidan kemudiannya membalas “kepala otak kau b***h”.

Bagaimanapun, Johari kemudiannya mententeramkan pertengkaran itu sambil meminta Lee duduk.

Hamzah kemudian meneruskan perbahasannya dengan secara halus menyindir Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang dilancarkan semalam oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Hamzah mendakwa Rafizi mengguna pakai semula formula dari bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Mustapha Mohamed dari Perikatan Nasional.

“Kita duduk bincanglah… tahu betapa hebat formula Pandan (Rafizi) akhirnya, terima formula kita.

“Ini kepentingan negara, jangan nak angkuh sangatlah...yang lain-lain nak ikut pun tak salah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS