Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Tinjauan 100 hari kerajaan: Ada sesuatu yang tak betul

Semalam lima media arus perdana, iaitu Sinar Harian, Awani, The Star, Sin Chew dan Malaysia Namban, menyiarkan dapatan kaji selidik mega Tinjauan Rakyat Malaysia 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang mereka jalankan dari 6 Februari hingga 16 Februari 2023 dengan kerjasama firma penyelidikan O2 Malaysia.

Kaji selidik ini dinamakan kaji selidik mega kerana ia membabitkan lima media arus perdana yang memaparkan soalan-soalan secara terbuka kepada pembaca dan pelayar agensi mereka. Pada akhirnya mereka berjaya mendapat 35,077 respon.

Meneliti dapatan-dapatan kaji selidik mega ini, ia rata-ratanya berbentuk negatif.

Dari segi tahap kepuasan hati terhadap usaha kerajaan menunaikan manifesto PRU15, seramai 51 peratus tidak berpuas hati, seramai 25 peratus berpuas hati dan 24 peratus neutral.

Dari segi kerjasama Pakatan Harapan dengan BN, 47 peratus tidak menerima, 33 peratus menerima dan 33 peratus neutral.

Dari segi lantikan menteri dan timbalan menteri, 47 peratus tidak menerima, 29 peratus menerima dan 24 peratus neutral.

Dari segi keadaan semasa negara, 45 peratus berpandangan keadaan semasa negara lemah, 28 peratus berpandangan kuat dan 27 peratus berpandangan tidak lemah, tidak kuat.

Dari segi situasi ekonomi negara, 39 peratus berpandangan ekonomi negara dari disember hingga februari 2023 bertambah buruk, 38 peratus berpandangan bertambah baik dan 23 peratus berpandangan tiada perubahan.

Dari segi sentimen terhadap hubungan kerjasama antara parti-parti politik dalam kerajaan campuran, 36 peratus berpandangan hubungan kerjasama antara parti politik dalam kerajaan tidak berjalan dengan baik, 34 peratus berpandangan berjalan dengan baik dan 30 peratus berpandangan tidak pasti.

Ringkasan utama dapatan-dapatan kaji selidik mega ini pula adalah “walaupun Kerajaan Perpaduan Malaysia mempunyai 2/3 kerusi Dewan Rakyat, tetapi tidak berpadanan dengan tahap penerimaan rakyat terhadap prestasi semasa kerajaan, adanya jurang antara sentimen rakyat dengan kerjasama pemimpin dalam kerajaan.”

Begitu pun, ada juga dapatan-dapatan kaji selidik mega ini yang positif, cuma kelebihan dari segi peratusan positifnya tidak tinggi, iaitu 39 peratus menerima blok Sabah dan Sarawak menyertai mana-mana parti yang menjadi kerajaan berbanding 34 peratus tidak menerima, 47 peratus menerima Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri berbanding 37 peratus tidak menerima, serta 45 peratus berpandangan hala tuju semasa negara betul berbanding 30 peratus salah.      

Kami di Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) yang pernah menjalankan beberapa kaji selidik sebelum ini ragu-ragu dengan dapatan-dapatan kaji selidik mega Sinar Harian, Awani, The Star, Sin Chew dan Malaysia Namban ini.

Metodologi tak betul

Keraguan ini timbul kerana dari sudut metodologi ada sesuatu yang tidak betul. Kaji selidik mega ini hanya membabitkan pembaca dan pelayar Sinar Harian, Awani, The Star, Sin Chew dan Malaysia Namban sahaja. Seramai 35,077 respon yang diterima adalah tidak representatif kepada pandangan seluruh rakyat Malaysia, sebaliknya ia hanyalah cerminan kepada pendapat pembaca dan pelayar lima media arus perdana ini sahaja. 

Kebiasaannya, kaji selidik saintifik yang mempunyai tahap keabsahan yang tinggi dibuat secara tatap muka atau melalui panggilan telefon ke atas responden yang dipilih secara persampelan rawak berstrata atau sekurang-kurangnya secara pensampelan rawak mudah meliputi semua segmentasi jantina, kaum, umur, latar belakang ekonomi, tahap pendidikan, julat pendapatan dan lokaliti. 

Bagaimanapun ini tidak berlaku dalam kaji selidik mega ini kerana responden tidak dipilih secara rawak, sebab itulah sebagai contohnya 81 peratus respon kaji selidik mega ini ialah lelaki sedangkan banci penduduk dan perumahan menunjukkan hanya 52.3 peratus sahaja rakyat Malaysia ialah lelaki.

Timbul juga isu bila lima media arus perdana ini memaparkan soalan-soalan secara terbuka kepada pembaca dan pelayar agensi mereka kerana pihak partisan tertentu yang mengetahui mengenai kaji selidik mega ini boleh sahaja masuk ke dalamnya beramai-ramai untuk memastikan dapatan-dapatannya memihak kepada mereka.

Dari sudut yang lain pula, terdapat banyak perkara membanggakan yang dilakukan oleh Anwar dan Kerajaan Perpaduan, khususnya yang melibatkan reformasi institusi dan tatakelola baik. 

Pengumuman hala tuju baharu Kerajaan Perpaduan, iaitu gagasan Malaysia Madani, baru dibuat pada 19 Januari. Gagasan ini akan didukung oleh empat dasar semasa, yakni, Rancangan Malaysia Ke-12, Bajet Tahunan Kerajaan, Pelan Baharu Antirasuah serta Matlamat Pembangunan Mampan. Bajet 2023 juga baharu sahaja dibentangkan 24 Februari.

Pemberian Sumbangan Tunai Rahmah, peruntukan Geran Khas kepada Sabah dan Sarawak, pengekalan tarif elektrik dan kadar dasar semalaman (OPR), pengukuhan nilai RM, pengenalan Menu Rahmah dan sebagainya adalah antara perkara-perkara bagus yang telah dilaksanakan.

Permukiman Menteri-Menteri Kerajaan Perpaduan, yang diisi dengan sesi taklimat khas mencakupi aspek-aspek penting ke arah pemantapan penyampaian perkhidmatan dan pengukuhan tata kelola atau tadbir urus jentera kerajaan, juga baru dilangsungkan pada 15 Januari, manakala pemukiman timbalan-timbalan menteri Kerajaan Perpaduan pula baru dilangsungkan pada 25 Februari.

Pelaksanaan perolehan kerajaan yang kini dibuat secara telus dan terbuka tanpa menggunakan kaedah rundingan terus yang mengakibatkan penjimatan wang adalah satu contohnya. Pembatalan projek tebatan banjir bernilai RM15 bilion dan Jana Wibawa bernilai RM7 bilion yang dibuat secara rundingan terus sebelum ini bila ditender semula secara telus dijangka menghasilkan penjimatan sehingga RM3 bilion.

Agus perlu masa

Mohammad Agus Yusoff, baru dilantik sebagai ketua pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri pada 2 Februari. Oleh itu, beliau memerlukan sedikit masa untuk membetulkan persepsi masyarakat serta menyampaikan kepada rakyat segala pencapaian Anwar dan Kerajaan Perpaduan.

Semakan prestasi menteri selalunya dibuat berdasarkan tiga elemen utama, iaitu prestasi kementerian atau agensi, prestasi kepimpinan menteri dari segi kecekapan inisiatif mereka serta persepsi masyarakat terhadap menteri. Kaji selidik hanyalah sekadar mencerminkan persepsi masyarakat terhadap menteri.

Kaji selidik yang dibuat dengan menggunakan metodologi yang betul, dan dalam tempoh masa yang betul, akan lebih mencerminkan pandangan sebenar rakyat.


DR MASHITAH MOHD UDIN, adalah pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS