Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jual arak tanpa lesen, ahli majlis PBT didenda RM3,000 
Diterbitkan:  Feb 27, 2023 1:12 PM
Dikemaskini: 5:12 AM

Seorang pengusaha cafe hiburan yang juga ahli majlis sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di Melaka hari ini kerana menjual minuman keras tanpa lesen.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman juga memerintahkan M. Thiruselvan, 40, dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda selepas lelaki itu mengaku salah atas pertuduhan terhadapnya.

Tertuduh mengaku melanggar syarat lesen perniagaan dengan menjual minuman keras tanpa lesen/kebenaran pihak berkuasa di sebuah premis di Jalan Balang, Taman Padang Balang, Batu Berendam di sini sekitar 3.15 pagi pada 15 Sept 2022.

Thiruselvan melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 11 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri mencadangkan agar hukuman berat dikenakan memandangkan lelaki itu sebelum ini pernah dikenakan hukuman denda RM2,000 atau dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda kerana berniaga melebihi masa.

Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam Datuk K. Shashi memohon agar denda ringan dikenakan memandangkan anak guamnya sudah insaf dan telah memohon lesen menjual minuman keras pada Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya.

K. Shashi juga menjelaskan tertuduh menjalankan perniagaan itu bersama rakan kongsinya dan tidak berada di premis tersebut sewaktu kejadian. 

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS