Tiga orang individu dituduh di mahkamah susulan kes pembunuhan kejam model Hong Kong Abby Choi yang mayatnya ditemui dalam peti sejuk di sebuah rumah.
Ketika mencari bahagian tubuh Choi, setelah menemui mayatnya pada Jumaat, polis turut menjumpati pemotong daging dan gergaji elektrik di daerah terpencil di Tai Po, lapor Reuters.
Memetik sumber, media tempatan melaporkan bahawa kepala Choi ditemui dalam periuk sup di rumah dia ditemui.
Polis tidak memberikan maklum balas segera terhadap soalan Reuters terhadap kes sensasi model yang pernah menghias muka depan majalah fesyen Monaco itu.
Identiti suspek tidak didedahkan. Mereka dijadual dibawa ke mahkamah hari ini.
Memetik TV tempatan TVB, suami mangsa Alex Kwong ditangkap semalam tetapi belum dituduh di mahkamah. Bagaimanapun bekas bapa mentertua dan saudaranya dituduh kerana membunuh. Ibu mentua Choi turut ditangkap dan didakwa mengganggu kes.
Choi hilang pada Selasa lepas.
Sementara itu, Superintendan Alan Chung daripada unit jenayah daerah Kowloon Barat berkata Choi, 28, dipercayai diserang ketika berada dalam sebuah kereta yang mempunyai tujuh tempat duduk.
Katanya, ketika menemui bahagian tubuh mangsa dalam serbuan di sebuah rumah tiga tingkat, ia dibawa untuk pemeriksaan forensik.
“Kami jumpa dua periuk sup di tempat kejadian, satu periuk itu berukuran 50cm dalam dan diameternya 40cm, hampir penuh dilitupi lemak tebal, sedikit lobak merah dan lobak hijau serta daging dipercayai daging manusia,” katanya.
Chung juga berkata terdapat lubang sedalam 6.5cm kali 5.5cm ditemui di bahagian belakang tengkorak yang dipercayai menjadi penyebab utama kematian.
Polis terus mencari bahagian badan yang hilang, termasuk tangan.