mk-logo
Berita
Syed Saddiq: PH jangan lupa janji mansuh Auku
Diterbitkan:  Feb 26, 2023 5:34 PM
Dikemaskini: 9:37 AM

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengingatkan kerajaan supaya menunaikan janjinya untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku).

Ahli parlimen Muar itu berkata beberapa pemimpin Pakatan Harapan memberi jaminan bahawa akta itu akan dimansuhkan jika gabungan itu menang pilihan raya umum.

"Pada 2019, kabinet telah memutuskan untuk mansuhkan Auku, kita gembira, tukar kerajaan, kosong, kena mula balik.

"Kita jangan lupa, dalam manifesto PH, kita telah berikan komitmen untuk memansuhkan Auku, ramai pemimpin-pemimpin PH turut bersama berkempen 'kita menang, kita mansuhkan Auku'.

"Kita mesti berpegang kepada komitmen ini," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Menurut bekas menteri belia dan sukan era perdana menteri ketujuh itu lagi, mahasiswa perlu dilengkapkan dengan kemahiran berfikir secara kritikal.

"Auku bukan saja menekan dan menyekat suara mahasiswa untuk mengkritik dan bersuara tetapi ia juga memberi kuasa mutlak kepada orang politik untuk menentukan pentadbiran di semua universiti di Malaysia," kata Syed Saddiq lagi.

Dia juga mengingatkan mengenai jaminan yang diberikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa mahasiswa dan pelajar di negara ini bebas untuk menyuarakan pandangan mereka termasuk memberi kritikan dan menegur kerajaan.

Anwar menjelaskan hal ini bagi memastikan golongan itu memiliki pemikiran kritikal selain mewujudkan suasana universiti yang lebih segar.

Dia berkata perkara itu juga telah disampaikan kepada Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

"Ini) supaya universiti lebih segar dalam membolehkan sesuatu pandangan itu diberikan melainkan hal-hal yang mencerca, (bersifat) perkauman atau fahaman agama yang melampau," kata perdana menteri pada 11 Feb lalu.

Pada 24 Feb, Menteri Pengajian Tinggi Khaled Nordin berkata kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkan Auku kerana undang-undang itu masih relevan terutama dalam pentadbiran universiti.

Bagaimanapun, Khaled berkata kerajaan terbuka untuk menambah baik Auku dan sentiasa melibatkan pihak berkepentingan.

PH pada PRU15 telah berjanji untuk memansuhkan Auku dengan matlamat memberikan lebih autonomi kepada universiti dan institusi pengajian tinggi.

Pada masa ini, Auku memberikan kuasa kepada menteri yang bertanggungjawab untuk memutuskan pelantikan penting bagi universiti seperti jawatan naib canselor.

Pengkritik mendakwa undang-undang ini menjejaskan autonomi universiti kerana ia membenarkan menteri melantik naib canselor tanpa pertimbangan merit.

Pentadbiran Dr Mahathir Mohamad (2018-2020) pernah merancang mahu memansuhkan Auku dan menggantikannya dengan undang-undang baru menjelang 2020 tetapi tidak kesampaian kerana kerajaannya runtuh sebelum dapat melaksanakan hal itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS