Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sivakumar akan bincang dengan MOF perincian peruntukan rumah ibadat Hindu

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan mengenai perincian peruntukan kepada rumah ibadat bukan Islam dalam Belanjawan 2023.

Beliau yang merupakan menteri India tunggal dalam Kabinet, berkata ia berikutan buat pertama kali rumah ibadat Hindu menerima peruntukan sebegitu (termasuk rumah ibadat bukan Islam lain) daripada kerajaan Persekutuan dalam belanjawan negara.

“Semalam, Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) memperuntukkan RM50 juta bagi penyelenggaraan dan baik pulih rumah ibadat bukan Islam.

“Ini termasuk rumah ibadat Hindu, Cina dan Kristian. Ia akan memberi manfaat kepada semua komuniti ini,” katanya selepas merasmikan Karnival Kerjaya MYFuture Jobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah 2023 di Silverlakes Village Outlet hari ini.

Sivakumar juga memaklumkan sebanyak RM100 juta diperuntukkan kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), selain RM30 juta disediakan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional untuk Skim Pembiayaan Usahawan Mikro India.

Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat semalam mengumumkan RM50 juta disediakan bagi penyelenggaraan dan baik pulih rumah ibadat bukan Islam seluruh negara dan RM900 juta untuk kerja menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS