Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aktivis mahu usaha banteras pornografi kanak-kanak diperluas

Seorang aktivis hak kanak-kanak menyambut baik langkah kerajaan menubuhkan unit khas untuk memerangi jenayah pornografi kanak-kanak.

Unit khas berkenaan ditubuhkan di bawah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah, seperti diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahimketika pembentangan Belanjawan 2023 semalam.

Pengarah Eksekutif Childline Foundation, Wong Poai Hong bagaimanapun menggesa agar usaha diperluas untuk menangani peningkatan Bahan Penderaan Seksual Kanak-Kanak Dalam Talian (CSAM).

Bercakap kepada Malaysiakini, Wong berkata kerajaan perlu memberi penekanan terhadap CSAM yang menurutnya meningkat dengan ketara dalam tempoh tiga tahun lalu.

“Portal Childline Internet Watch Foundation Malaysia melaporkan purata 1,000 kes sebulan sejak Dis 2022.

“Pada 2021, Pusat Kebangsaan Kanak-Kanak Hilang dan Dieksploitasi (NCMEC) melaporkan hampir 200,000 disyaki CSAM dalam talian.

“(Unit ini) amat diperlukan tetapi ia bukan sahaja perlu memberi tumpuan kepada pornografi kanak-kanak tetapi keseluruhan spektrum CSAM,” tegas Wong.

Bagi menangani isu ini secara berkesan, aktivis itu menggesa kerjasama antara agensi, khususnya dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dia juga mencadangkan kerajaan menyepadukan sistem pengurusan data dengan agensi antarabangsa seperti Internet Watch Foundation (IWF), Interpol, Inhope dan talian bantuan kanak-kanak.

Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak

Wong berkata Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak, yang turut diumumkan semasa pembentangan belanjawan semalam merupakan pencetus perubahan (game changer) yang ditunggu-tunggu untuk melindungi kanak-kanak sama ada di luar talian atau dalam talian.

Katanya, salah satu cabaran utama dihadapi jabatan itu ialah mendapatkan dana mencukupi untuk membolehkan Dasar Negara dan Pelan Strategik untuk Kanak-kanak dilaksanakan engan keputusan jangka pendek, sederhana dan panjang.

Dia menegaskan kepentingan mengambil kakitangan yang berkelayakan dari aspek perkembangan awal kanak-kanak, hak kanak-kanak, dan perlindungan kanak-kanak, serta memetakan perkhidmatan dan kemudahan berkaitan kanak-kanak sedia ada untuk memastikan penjagaan dan pendidikan berkualiti untuk semua kanak-kanak di bawah 18 tahun.

Bagaimanapun, katanya terdapat kekeliruan mengenai nama dan fokus sebenar jabatan itu.

“Saya betul-betul keliru dengan istilah Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak. Sebelum ini juga dilaporkan bahawa Jabatan Perlindungan Kanak-kanak akan diwujudkan.

“Malah lebih awal lagi telah diumumkan bahawa jabatan kanak-kanak akan ditubuhkan yang kami anggap akan meliputi keseluruhan spektrum empat kategori hak kanak-kanak di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Kanak-kanak 1989 seperti survival kanak-kanak, perlindungan, perkembangan dan penglibatan.

“Saya meminta penjelasan mengenai nama yang betul bagi jabatan baru ini dan rundingan diadakan dengan NGO dan kanak-kanak,” kata Wong.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS