Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Penubuhan unit khas beri impak positif banteras pornografi kanak-kanak'

Penubuhan unit khas di bawah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi impak positif dalam usaha membanteras aktiviti pornografi kanak-kanak.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihaknya mengalukan-alukan unit khas tersebut dan akan turut bekerjasama dengan pelbagai agensi dalam usaha mengesan pelaku yang terlibat.

“Selain itu, PDRM menghargai peruntukan sebanyak RM10 juta sebagai geran pengoperasian bagi mengukuhkan peranan National Scam Response Centre (NSRC) bagi mengekang jenayah penipuan dalam talian atau scam,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023 semalam Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan penubuhan sebuah unit khas dalam membanteras aktiviti pornografi kanak-kanak selain peruntukan lain yang bakal dinikmati warga PDRM.

Selain itu, beberapa peruntukan menerusi Belanjawan 2023 akan dinikmati warga PDRM iaitu perolehan 2,100 unit kamera badan, pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan kuarters polis baru dengan kos RM450 juta.

Acryl Sani berkata PDRM akan memastikan peruntukan yang diumumkan oleh kerajaan melalui Belanjawan 2023 dimanfaat sepenuhnya bagi memelihara ketenteraman dan keamanan negara dalam membangun Malaysia Madani.

Menerusi Belanjawan 2023, kerajaan memperuntukkan RM18.5 bilion kepada Kementerian Dalam Negeri bagi terus memperkukuhkan ketenteraman awam dan menjamin keamanan serta keselamatan negara.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS