Kerajaan hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.7 bilion untuk menyelenggara dan menaik taraf jalan persekutuan dalam menangani isu kemalangan jalan raya yang kian meningkat.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.5 bilion disediakan bagi menaik taraf dan membina jalan perhubungan desa serta luar bandar baharu.
“Bagi menangani isu jalan berlubang, khidmat Jurutera Daerah akan digunakan untuk menyegerakan penurapan kerosakan jalan persekutuan serta pembaikan lain.
“Selain itu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM50 juta disediakan untuk segera memasang lampu jalan khususnya di kawasan kemalangan tinggi,” kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim semasa membentang Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Malah, katanya, kerajaan akan meningkatkan pemberian MARRIS yang bertujuan menyelenggara jalan negeri.
Anwar juga mengumumkan pembinaan dan menaikkan taraf beberapa jalan raya dan lebuh raya yang mengalami kesesakan sehingga menjejaskan beberapa lokasi tumpuan pelancong.
“Kerajaan akan melaksanakan projek membina jalan baharu dari Habu ke Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang dengan kos sebanyak RM480 juta.
“Menaik taraf Jalan Tun Hamzah ke persimpangan Semabok Lebuh AMJ Daerah Melaka Tengah dengan kos sebanyak RM300 juta,” katanya.
Dia juga mengumumkan pembinaan jalan dan jambatan Sungai Sepang bagi menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson dan Sungai Pelek, Sepang dengan kos projek RM160 juta.
“(Kerajaan juga akan) menambah baik kemudahan jaringan lebuhraya ke Pengerang melalui pembinaan lorong memotong di Senai Desaru Expressway.
“Kerajaan juga bersetuju melaksanakan projek naik taraf Lebuhraya Utara Selatan di dari Yong Peng Utara ke Senai Utara - Fasa 1, Johor daripada empat kepada enam lorong dengan kos RM525 juta secara berfasa,” katanya.