Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Status muflis: Kes hutang kurang RM50 ribu akan dilepaskan mulai 1 Mac
Diterbitkan:  Feb 24, 2023 5:11 PM
Dikemaskini: 9:16 AM

Rakyat yang diisytihar muflis berhak punyai peluang kedua, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Menurutnya, setakat Januari lalu, lebih 260 ribu kes muflis telah direkodkan.

“(Ini) turut melibatkan anak-anak kita majoritinya Melayu yang punyai potensi menyumbang kepada ekonomi negara.

“Kerajaan akan meminda Akta Insolvensi 1967 supaya kes muflis dapat dilepaskan secara automatik pada masa yang singkat.

“Sementara menunggu pindaan, kes-kes kecil yang hutangnya kurang 50 ribu ringgit yang memenuhi syarat akan dilepaskan serta-merta mulai 1 Mac ini,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Kerajaan menyasarkan 130,000 rakyat akan dilepaskan daripada status muflis dengan lulusnya pindaan akta itu.

Dalam menangani isu-isu rakyat, Anwar juga mengumumkan bahawa golongan banduan juga wajar mendapat peluang kedua.

Katanya, bagi kepentingan dan asimilasi mereka semula ke dalam masyarakat, banduan akan terus diberi latihan secukupnya melalui program Skill for Inmate.

“Majikan juga digalakkan untuk menggaji banduan termasuk bekas penghuni Sekolah Henry Gurney dan institusi perlindungan dan pemulihan JKM dan layak mendapat potongan cukai tambahan.

“Program Agro Penjara untuk banduan terlibat dalam aktiviti pertanian yang dilaksanakan di atas tanah penjara seluas 70 hektar akan terus diperkasa dengan peruntukan RM10 juta,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS