Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kelantan, Terengganu tak layak terima royalti minyak
Diterbitkan:  Feb 24, 2023 1:35 PM
Dikemaskini: 5:54 AM
  • Dikemas kini dengan tambahan latar belakang isu.

PARLIMEN l Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak 5 peratus.

Ini kerana menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, Akta Laut Wilayah 2012 menetapkan bahawa negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika.

Perjanjian Pembayaran Wang Tunai yang ditandatangani antara Petronas dan kerajaan Kelantan dan Terengganu memperuntukkan dua negeri itu boleh diberi pembayaran tunai sebanyak lima peratus untuk petroleum yang didapati dan diperolehi dalam jarak tiga batu nautika dari garis air surut.

Azalina Othman Said

"Namun, Petronas tidak pernah menyalurkan hasil petroleum secara langsung kepada Kelantan dan Terengganu selama ini kerana kedudukan medan pengeluaran adalah terletak di luar tiga batu nautika dari garis air surut wilayah Kelantan dan Terengganu," katanya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan persekutuan telah menyalurkan wang ehsan ke negeri-negeri yang berhampiran dengan kawasan penggalian petroleum, termasuk Kelantan dan Terengganu, untuk projek yang memberi manfaat kepada rakyat.

Azalina menjawab soalan Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang bertanya sama ada kerajaan akan menyalurkan hasil minyak "secara terus" kepada kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu "seperti yang dilakukan oleh kerajaan PN".

Muhyiddin Yassin

Bayaran yang dirujuk oleh Muhyiddin itu ialah wang RM200 juta yang diberikan kepada kerajaan Kelantan masing-masing pada 2020 dan 2021.

Ini adalah peningkatan yang besar berbanding wang ehsan RM28 juta yang diterima negeri melalui Jabatan Kemajuan Persekutuan (JPP) dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).

Bagaimanapun, pada 2019, Putrajaya - di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad - membayar Kelantan RM400 juta dalam apa yang dikenali sebagai bayaran "sekali sahaja". Bayaran itu tidak diminta oleh kerajaan Kelantan yang menuntut bayaran petroleum sebanyak 5 peratus.

Menjelang pilihan raya Parlimen ke-15, Muhyiddin telah berjanji bahawa Kelantan dan Terengganu akan dibayar 5 peratus sekiranya PN berkuasa.

Pertikaian berkaitan royalti minyak Kelantan itu telah berlarutan sejak bertahun-tahun sehingga kerajaan negeri membawa kes itu ke mahkamah.

Kelantan bagaimanapun menarik balik saman itu selepas yakin dengan pentadbiran Mahathir Mohamad ketika memimpin kerajaan kali kedua bersama Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, isu kembali hangat selepas Kelantan tidak mengiktiraf pemberian pusat itu yang menganggapnya hanya sebagai wang ehsan.

Beberapa pihak beranggapan masalah itu tidak selesai kerana kedudukan telaga minyak dalam sempadan perairan negeri tidak ditentukan.

Malah, tindakan Kelantan menarik balik samannya pada 2019 menyebabkan perkara itu terus tergantung.

Menteri ekonomi sebelum ini Azmin Ali menjelaskan bahawa bayaran royalti petroleum kepada Kelantan setakat ini daripada lapangan Bumi Selatan dan Suria Selatan saja.

Kedua-dua lapangan ini berada dalam lingkungan tiga batu nautika daripada pesisir pantai Kelantan.

Sepuluh lagi lapangan pengeluaran masih tidak mempunyai persempadanan perairan antara Kelantan, Terengganu dan Pahang, menyebabkan  hasilnya belum disalurkan kepada mana-mana negeri.

Katanya, bayaran tunai royalti minyak oleh Petronas terhadap 10 lapangan itu disalurkan ke akaun terimaan tidak diperuntukkan (ATTD) berjumlah hampir RM1.2 bilion, untuk tempoh 2013 hingga 2019 sementara menunggu persempadanan ditentukan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS