Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) yang ada sekarang bukanlah alat politik untuk kepentingan pihak tertentu saja, kata ketua pengarahnya Mohammad Agus Yusoff.
Sebaliknya kata Mohammad Agus ia merupakan alat untuk kerajaan menyampaikan wawasan Malaysia Madani yang digagaskan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Justeru tambah Mohammad Agus J-Kom sentiasa bersikap terbuka dan mengalu-alukan mana-mana pihak termasuk parti di luar kerajaan untuk datang berbincang dengan mereka bagi memakmurkan negara.
"Saya memohon maaf jika kami di J-Kom ada kelemahan. Kami sentiasa berusaha menjadi yang terbaik.
"Pejabat kami tidak hanya terbuka kepada satu parti politik saya, tetapi kepada semua parti.
"Datangi J-Kom jika ada program untuk rakyat yang kita boleh lakukan bersama," katanya hari ini.
Jangan sebarkan fitnah
Pada masa sama Mohammad Agus meminta pihak yang tidak senang dengan J-Kom sekarang agar melihat sendiri apa yang dimuat naik oleh mereka di media sosial.
"Ada kami berpolitik? Kami hanya menyampaikan dasar-dasar kerajaan sehingga ada pihak yang pro kepada parti-parti tertentu menuduh kami lembap dan tidak berfungsi.
"Kami jelaskan, kami bukan parti politik untuk berfungsi sebagai alat parti," katanya.
Sementara itu Mohammad Agus juga menyatakan bekas calon PH untuk kerusi DUN Apam Putra di Rantau Panjang, Sham Ghaz, kini menjadi timbalannya di agensi tersebut.
Tambahnya, Sham - atau nama sebenarnya Mohd Hisyamuddin Ghazali - tidak menerima gaji sehingga RM50,000 seperti dakwaan sesetengah pihak yang tidak senang dengan mereka.
"Syam Ghaz adalah timbalan saya. Gaji dan elaunnya tidak sampai pun satu per tiga daripada jumlah RM50,000 yang disebutkan," katanya.
Mohammad Agus juga memberitahu dia melantik aktivis politik itu kerana yakin dengan komitmen yang boleh diberikan bagi menjayakan program kerajaan dengan rakyat.
Katanya Sham Ghaz seorang anak muda yang aktif, bertenaga, mempunyai kesungguhan, dan komited menjalankan tugasnya.
"Saya menemu bual dia dan setelah itu saya yakin dalam dirinya mengalir nadi rakyat.
"Setelah pelantikan dibuat - yang tentunya mengikut semua peraturan - janganlah lagi kita menyebarkan fitnah.
"Saya telah membentuk pasukan yang baik untuk J-Kom dan telah pun menggariskan dasar serta visinya yang jelas," katanya.