Seorang remaja lelaki - yang sebelum ini tular di media sosial kerana dimandikan seperti jenazah kerana cuba mencuri tabung masjid - diperintah dihantar ke Sekolah Henry Gurney oleh Mahkamah Majistret Selayang.
Majistret Nur Hafizah Rajuni membuat keputusan itu semalam selepas meneliti laporan sosial dikemukakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terhadap Daniel Iskandar, 20, yang mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri wang tabung surau tahun lalu.
“Tertuduh merupakan pesalah muda. Oleh itu, memerintahkan tertuduh dihantar ke Sekolah Henry Gurney sehingga mencapai umur 21 tahun,” katanya.
Daniel dihantar ke sekolah yang terletak di Telok Mas, Melaka bermula semalam.
Mengikut pertuduhan, Daniel didakwa mencuri wang RM74 dari tabung Surau Al Munir di Batu 17 Kuang, Rawang pada 12.44 tengah hari 5 Dis 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
Bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya, tertuduh hendaklah dihukum penjara dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan pendakwa raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh agar tidak melakukan kesalahan sama.
Peguam dari Jabatan Bantuan Guaman Selangor, Suhaida Mohd Sobri, yang mewakili Daniel memohon hukuman ringan dengan mengambil kira laporan sosial yang dibacakan oleh wakil JKM, selain berkata anak guamnya merupakan pesalah muda serta telah insaf.
“Sebelum ditangkap, tertuduh bekerja di bengkel kereta dan dijaga oleh datuknya.
"Ibu bapa anak guam saya telah bercerai dan dia anak sulung daripada tiga beradik yang seorang daripadanya ialah orang kurang upaya (OKU),” kata peguam itu.
Dalam pada itu, pegawai JKM Mohamad Hanafi Sedi memohon supaya Daniel diperintahkan ditahan di sekolah itu sehingga mencapai 21 tahun.
Pada 13 Jan tahun lepas, Daniel dijatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang selepas mengaku bersalah cuba mencuri tabung kepunyaan Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 17 Jan tahun lalu mengetepikan hukuman penjara dan denda itu terhadap Daniel, dan menggantikannya dengan perintah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu dilaksana dalam tempoh enam bulan.
Ia ditumpukan pada khidmat di masjid-masjid.
- Bernama