Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Rayuan pekerja Lynas: Tolong jangan 'bunuh' kami

Seorang pegawai kanan Lynas Malaysia (Lynas) merayu kerajaan mengkaji semula keputusan untk menghentikan operasi jabatan pemecahan dan larut lesap (cracking and leaching) syarikat itu d Gebeng, Kuantan.

Naib Presiden (Modal Insan dan Komuniti) Lynas, Mimi Afzan Afza Abdullah, berkata dia membuat rayuan tersebut bagi pihak semua pekerja di syarikat terbabit.

"Masing-masing ada keluarga, kebanyakannya juga rakyat Malaysia (justeru berlaku) adillah kepada kami.

"Kami dah ada kepakaran jadi jangan 'bunuh' kami.

"Dengan adanya syarat baru (oleh kerajaan sekarang) ini, ia akan 'membunuh' kami, 'membunuh' peluang pekerjaan kepada ramai lagi rakyat tempatan," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui media selepas menyertai himpunan pekerja dan kontraktor Lynas di kawasan padang bola sepak dekat Balok, di Kuantan, petang tadi.

Mimi Afzan Afza Abdullah

Pekerja dan kontraktor Lynas Malaysia mula berkumpul di kawasan padang bola di Balok, Kuantan 30 minit lebih awal petang ini walaupun jadual asal menyatakan ia hanya bermula 2.30 petang.

Ratusan pekerja kilang memproses nadir bumi itu dilihat berarak memasuki padang disertai kontraktor yang menjalankan kerja di kilang terbabit.

Mereka membawa sejumlah sepanduk untuk menyatakan hasrat masing-masing agar nasib mereka terus terbela.

Sebahagian daripada peserta turut memegang sepanduk yang memaparkan rayuan kepada Istana Pahang untuk membantu mereka.

Sama seperti permulaan perhimpunan yang awal, ia juga ditamatkan kira-kira sejam dari jadual asal.

Sepanjang perhimpunan itu, beberapa wakil Lynas dan penduduk berucap mempertahankan kilang memproses nadir bumi yang beroperasi di kawasan perindustrian Gebeng sejak 2012.

Perhimpunan Rayuan Pekerja Lynas Malaysia dan Komuniti itu diadakan bagi merayu kerajaan tidak menghentikan operasi jabatan C&L kilang berkenaan kerana didakwa akan menyebabkan mata pencarian ribuan orang dalam ancaman.

Sementara itu pemangku penyelia Lynas, Mohd Badrul Hisham Zulkifli berharap kerajaan tidak membuat keputusan itu berdasarkan pandangan individu tertentu saja.

Mohd Badrul Hisham Zulkifli

Kata Mohd Badrul sepatutnya wakil kerajaan mendengar dan mengambil kira pandangan pakar berkaitan sebelum mengumumkan tindakan terhadap operasi kilang Lynas.

"Saya dah lebih 10 tahun bersama Lynas dan saya bukanlah bodoh, kalau kilang ini berbahaya dan ada radioaktif, buat apa saya terus kerja di sini.

"Saya pun ada anak isteri, ada keluarga dan saya tidak akan membahayakan mereka kalau betul kilang Lynas ini boleh mendatangkan risiko (kesihatan) kepada saya dan keluarga," katanya yang kini sedang menjalani latihan di ibu pejabat Lynas di Australia.

Semalam Malaysiakini melaporkan polis menerima permohonan untuk satu perhimpunan diadakan pada petang ini dan dibenarkan jika ia mendapat izin daripada pemilik tanah terbabit.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu, juga memberitahu menurut pihak terbabit mereka bukan mahu mengadakan demonstrasi sebaliknya sekadar berhimpun secara aman.

“Polis akan benarkan (perhimpunan) sekiranya mereka mendapat kelulusan daripada tuan punya tanah,” katanya.

Baca PANDUANKINI | Dari tutup total ke tutup separa: Lynas sesudah 11 tahun


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS