Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tenaganita mahu Anwar hentikan kematian dalam tahanan

Pengarah Eksekutif Tenaganita Glorena A Das menyeru kerajaan baru supaya Malaysia mengubah sejarah kematian dalam tahanan selepas jawapan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan bahawa 150 orang telah meninggal dunia tahun lalu semasa dalam tahanan Jabatan Imigresen.

Jawapan Parlimen kepada soalan Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui mendedahkan bahawa dari Jan hingga Dis 2022, statistik menunjukkan terdapat 150 warga asing mati dalam tahanan, termasuk tujuh kanak-kanak dan katanya, ini sewajarnya disiasat.

Menurut jawapan berkenaan, kematian itu membabitkan 121 lelaki dewasa, 25 perempuan dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.

“Tenaganita, dalam kerjanya dengan pendatang, pelarian, orang tanpa kerakyatan, pencari suaka dan mangsa pemerdagangan manusia, setiap hari berhadapan dengan isu-isu sekitar penangkapan, penahanan dan keganasan di pusat tahanan dan penjara.

Glorena A Das, Pengarah Eksekutif Tenaganita

“Sudah 27 tahun pengasas bersama kami mendiang Dr Irene Fernandez menyerahkan memorandum kepada KDN sejak pada tahun 1996 mengenai syarat kem tahanan di Malaysia, yang menyebabkan dia ditangkap dan diheret ke mahkamah oleh kerajaan Malaysia selama 18 tahun, kononnya kerana berniat jahat menerbitkan berita palsu.

"Bagaimanapun, kita sekali lagi pada 2023, menangani isu yang sama dengan 150 orang termasuk tujuh kanak-kanak yang telah meninggal dunia, namun tiada akauntabiliti," kata Das.

Tambahnya, penyeksaan, hukuman dan keadaan tidak berperikemanusiaan di pusat-pusat ini telah didokumenkan dengan baik.

“Ia telah diterima sebagai norma oleh ramai orang sehingga ke tahap kematian.

“Dengan adanya kerajaan baru, adalah jelas sekarang masa yang sesuai untuk meletakan dengan jelas dasar awam di tempatnya, instrumen, rangka kerja dan mekanisme pemantauan yang jelas bagi reformasi pusat tahanan yang telah lama tertunggak, untuk memastikan hak asasi manusia dihormati.

“Lebih-lebih lagi dengan seorang perdana menteri yang mengetahui keadaan dan situasi penjara – dia harus dan mesti mendesak perubahan ini.

“Kita tidak boleh biarkan kematian ini hanya sekadar angka yang dibentangkan di Parlimen, semata-mata kerana majoriti daripada mereka adalah pendatang, pencari suaka, tanpa kerakyatan dan pelarian yang kehilangan nyawa mereka boleh terselit di bawah radar.

"Ia mesti disiasat dan orang ramai, sebagai pembayar cukai, perlu tahu siapa yang bertanggungjawab terhadap kematian itu," katanya.

Thomas Orhions Ewansiha

Kematian dalam imigresen termasuk warga Nigeria Thomas Orhions Ewansiha yang meninggal dunia di depoh imigresen Bukit Jalil, pada 9 Julai 2019.

Keluarganya mendakwa dia ditangkap secara tidak sah, diberi layanan kasar serta diabaikan tetapi gagal dalam usaha undang-undang mereka untuk mengheret pihak imigresen supaya bertanggungjawab atas kematiannya, selepas Mahkamah Koroner memutuskan bahawa dia mati atas sebab semula jadi.

Selain kematian dalam tahanan imigresen, jawapan KDN juga menyatakan terdapat 11 kematian dalam lokap polis tahun lepas. Ia membabitkan sembilan kes yang melibatkan banduan berketurunan Melayu; seorang berketurunan Cina dan warga asing.

Julat umur banduan yang maut di lokap membabitkan empat orang berumur antara 30 hingga 39 tahun; tiga orang berumur antara 40 dan 49 tahun, tiga orang berumur antara 50 dan 59 tahun dan dua orang berumur antara 60 hingga 69 tahun.

Bagi tahun 2022, Jabatan Penjara juga merekodkan sembilan kematian banduan lelaki. Daripada jumlah itu, empat adalah berketurunan Melayu; tiga Cina; seorang India, dan seorang warganegara Vietnam.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS